WAJIBKAN LPG KOMERSIAL ANIAYA PENIAGA KECIL, BEBANI PENGGUNA – ROSOL WAHID

HULU TERENGGANU, 29 Mei 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Dato’ Rosol Wahid hari ini menggesa Kerajaan Madani supaya menangguhkan serta-merta pelaksanaan penggunaan wajib silinder LPG komersial 14 kilogram ke atas peniaga kecil, khususnya pengusaha makanan, yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Mei lalu.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu juga, pelaksanaan tersebut telah menyebabkan lonjakan kos operasi kepada para peniaga kecil sehingga tiga kali ganda, daripada sekitar RM2,600 kepada RM7,000 sebulan. Tambahan pula, tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Gasak sejak tiga minggu lalu telah menambahkan tekanan apabila silinder LPG mereka dirampas dan mereka dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa.

Beliau menerima banyak aduan daripada peniaga kecil yang terkesan teruk. Mereka bukan sahaja berdepan kenaikan kos, tetapi turut dianiaya oleh tindakan penguatkuasaan yang tidak sensitif terhadap nasib rakyat, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rosol turut menyelar kerajaan atas pelaksanaan dasar yang didakwanya tergesa-gesa dan membebankan rakyat, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menekan. Beliau memberi amaran bahawa pendekatan sedemikian boleh mencetuskan kesan domino terhadap harga barangan, sekali gus memberi kesan terus kepada pengguna.

Sebagai Ketua Portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam Kabinet Bayangan Perikatan Nasional, Rosol menyeru agar kerajaan menyusun semula subsidi secara berhati-hati dengan komunikasi yang jelas serta menyediakan insentif sokongan yang bersesuaian sebelum sebarang langkah drastik diambil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *