KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham hari ini menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap Sin Chew Daily berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit di muka hadapan akhbar tersebut sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, kelmarin.
Setiap lambang dan warna pada Jalur Gemilang mewakili maksud yang tertentu. Lambang Anak Bulan atau Bulan Sabit pada Jalur Gemilang membawa maksud Islam sebagai agama persekutuan, dan warna kuning pada Bulan Sabit itu membawa maksud Kedaulatan Raja Berperlembagaan.
YB Hilman Idham menyifatkan penyiaran ilustrasi itu sebagai satu tindakan tidak patriotik yang tidak wajar berlaku, apatah lagi melibatkan simbol kebangsaan yang menjadi lambang kedaulatan negara. “Atas apa juga alasan, ini jelas memaparkan sikap tidak patriotik Sin Chew,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau lagi, tindakan tegas mengikut undang-undang perlu diambil bukan sahaja bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara, tetapi juga sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan maruah Malaysia.
“Saya menyeru seluruh rakyat yang cinta akan tanah air untuk bersatu dan menzahirkan semangat patriotisme demi Malaysia yang gagah,” katanya lagi.
Insiden ini menambah tekanan terhadap Sin Chew Daily, yang sebelum ini turut menerima kecaman pelbagai pihak termasuk ARMADA BERSATU dan beberapa Ahli Parlimen, berikutan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa elemen lambang bulan sabit – simbol penting yang mewakili Islam sebagai agama rasmi negara.