KUALA LUMPUR, 18 April 2025 – Isu penyiaran Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit oleh Sin Chew Daily terus mencetuskan reaksi serius apabila satu lagi portal akhbar Kwong Wah Yit Poh kini turut dilaporkan sedang disiasat oleh pihak berkuasa selepas tular satu ilustrasi muka depan akhbar itu yang dikatakan turut menampilkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit. Siasatan awal sedang dijalankan untuk menentukan sama ada kesilapan tersebut melibatkan unsur kecuaian atau disengajakan.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Selangor, Hafizan Naimman, menggesa siasatan menyeluruh dan reformasi terhadap dasar editorial media negara. Dalam kenyataan media, beliau menegaskan bahawa kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit — simbol penting yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan — bukan sekadar isu teknikal tetapi satu kecuaian serius yang menyentuh sensitiviti nasional.
“Simbol kebangsaan bukan sekadar bahan grafik. Ia adalah warisan, maruah dan jiwa bangsa,” katanya, sambil menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia menyiasat insiden itu di bawah Akta Lambang dan Nama 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selain mendesak semakan editorial yang lebih ketat oleh semua institusi media, ARMADA BERSATU Negeri Selangor turut mencadangkan agar latihan berkala dan kod etika tambahan diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap isu patriotisme dan sensitiviti kebangsaan dalam kalangan pengamal media.
Dengan dua akhbar berbahasa Cina utama kini terpalit dalam isu serupa, desakan terhadap kerajaan untuk memperketat penguatkuasaan undang-undang dan pengawasan terhadap media semakin memuncak. Pemerhati politik dan pertubuhan masyarakat turut menyeru agar kebebasan media tidak dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap lambang serta identiti negara.