PENGAMBILAN TANAH KAMPUNG SUNGAI BARU, SALAH UMNO SALAH PAKATAN HARAPAN – TUN FAISAL

KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tampil menjelaskan dakwaan yang mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dengan isu pengambilan tanah dan pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

“Kalau kita tengok sebenarnya, Kampung Sungai Baru ni salahnya adalah salah UMNO dan Barisan Nasional. Yang keduanya, salah Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan,” kata Tun Faisal.

Menurutnya, isu ini bermula sekitar tahun 2016 dan 2017 apabila pemaju yang terlibat dibawa masuk untuk berunding dengan penduduk oleh kerajaan ketika itu yang diterajui oleh Barisan Nasional. “Waktu itu Menteri Wilayah adalah Tengku Adnan Tengku Mansor daripada UMNO Barisan Nasional. Permulaan kepada masalah Kampung Sungai Baru bermula dari situ,” jelasnya lagi.

Tun Faisal turut menyatakan bahawa pada tahun 2018, ketika Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Samad dari Parti Amanah Negara, didakwa tidak mengambil langkah untuk menghentikan proses tersebut. Malah, lebih 80% penduduk flat di Kampung Sungai Baru menandatangani perjanjian dengan pemaju semasa tempoh pentadbiran Pakatan Harapan, yang akhirnya membuka jalan kepada pemaju menggunakan Akta Pengambilan Tanah pada tahun 2020.

“Jadi salah siapa? Pertama, siapa yang bawa pemaju? UMNO dan Barisan Nasional. Siapa yang menyebabkan lebih 80% penduduk menandatangani perjanjian? Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan,” katanya sambil menegaskan bahawa Perikatan Nasional tidak boleh dipertanggungjawabkan dalam hal ini.

Beliau mengulas dalam satu rakaman video yang kini tular, Tun Faisal menegaskan bahawa PN tidak wajar dipersalahkan berhubung kontroversi yang melibatkan pemindahan penduduk dan proses pembangunan semula kawasan itu. Sebaliknya, beliau menuding jari kepada Barisan Nasional (BN), UMNO, serta Pakatan Harapan (PH), khususnya Parti Amanah Negara, sebagai pihak yang memulakan dan meneruskan proses pengambilan tanah di kawasan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *