600 PEMOHON BAKAL MILIKI TAPAK RUMAH RTB TEBING TEMBAH; KERAJAAN NEGERI TERENGGANU UTAMAKAN PEMBANGUNAN KEPERLUAN SEMASA

DUNGUN, 11 Mei – Projek tanaman Kelapa Pandan di Kampung Tebing Tembah yang dirancang sejak 2008 kini diubah haluan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sebagai tapak rumah, demi keutamaan generasi muda.

Langkah ini dianggap lebih praktikal apabila ia berpotensi memberi manfaat kepada hampir 600 pemohon untuk memiliki rumah sendiri, berbanding projek pertanian sedia ada yang hanya memberi kelebihan kepada 96 orang penerima asal.

Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Dungun, Syahir Ammar bin Sazely, menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengubah haluan RTB Kelapa Pandan Tebing Tembah ditukarkan kepada tapak rumah. 

“Perkara ini mampu membuka ruang kepada 600 pemohon memiliki rumah sendiri memandangkan lokasi yang strategik serta memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang.”

“Kebanyakan daripada 96 pemohon asal projek kelapa pandan ini sudah pun memiliki tanah sendiri. Dengan lebih 660 permohonan telah diterima, sudah pasti keputusan ini akan menyelesaikan keperluan sebenar para pemohon untuk memiliki tapak rumah,” ujar beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, YB Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, projek pertanian tersebut sebelum ini melibatkan kawasan seluas 96 ekar, yang dirancang untuk diagihkan satu ekar seorang kepada penduduk kampung.

Namun katanya, pada tahun 2019, satu kertas kerja berkaitan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah, tetapi ditangguhkan setelah mengambil kira lokasi strategik tanah berkenaan yang terletak di tengah kampung serta bersebelahan sekolah dan masjid.

“Keperluan semasa mendesak kepada penyediaan tapak rumah. Ramai daripada 96 pemohon asal sudah berusia dan ada yang telah pun memiliki tanah lain, manakala lebih 660 anak muda telah membuat permohonan untuk memiliki tapak rumah di kawasan ini,” katanya di Wisma Darul Iman.

ADUN Paka itu turut menekankan bahawa keputusan menukar projek pertanian kepada pembangunan tapak rumah adalah selaras dengan realiti kehidupan hari ini.

“Mungkin pokok kelapa pandan masih boleh digunakan buat sementara, tetapi untuk masa depan, tapak rumah lebih penting dan mampu menyelesaikan keperluan hampir 600 orang,” tambahnya lagi.

Beliau turut berkongsi pengalaman projek pertanian yang gagal di kampungnya sendiri sebagai pengajaran, apabila tanah pertanian yang diagihkan tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan sebahagiannya dijual kembali.

Syahir Ammar Sazely yang juga Komander Briged Armada Negeri Terengganu dan AJK Penerangan Armada Malaysia berkata, Armada Dungun yakin langkah ini adalah keputusan terbaik yang berpihak kepada kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *