LANGKAH EKONOMI “3 SERANGKAI” MAMPU BUNUH PENIAGA, RAKYAT – ARMADA BERSATU DESAK KERAJAAN BERUNDUR DARI POLISI MEMBEBANKAN

Bertam , 20 Jun 2025 – ARMADA BERSATU Malaysia memberi amaran bahawa pelaksanaan serentak tiga langkah ekonomi utama kerajaan – peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik, serta penyasaran subsidi petrol RON95 – merupakan “langkah bunuh diri ekonomi”yang bakal memburukkan lagi penderitaan rakyat dan menjerut leher peniaga kecil serta sederhana.

Exco ARMADA, Muhammad Khairi Zainol Abidin berkata, dasar yang bakal bermula 1 Julai 2025 ini adalah satu tindakan cuai dan terburu-buru yang menunjukkan kerajaan tidak sensitif terhadap realiti rakyat di bawah.

“Kita belum pun sembuh dari luka ekonomi pasca pandemik dan inflasi global, tetapi kerajaan sudah bersiap untuk menghentam rakyat dengan cukai tambahan, tarif naik, dan subsidi ditarik serentak. Ini bukan reformasi – ini kezaliman ekonomi,” tegas Khairi.

Menurut beliau, kenyataan Timbalan Gabenor Bank Negara sendiri sudah cukup membuktikan bahawa rakyat sedang tertekan. Harga barang kekal tinggi, gaji pula hampir tidak bergerak. Dari suku pertama 2020 hingga 2025, harga makanan naik 17.5%, tetapi gaji hanya naik 7.9% – realitinya, rakyat semakin miskin.

Khairi turut mendedahkan bahawa lebih 2,000 peniaga kecil di bawah seliaan mereka menunjukkan tren jualan yang menjunam sejak awal tahun, khususnya selepas Aidilfitri. Peniaga semakin tenat, dan langkah kerajaan ini bagaikan menghumban garam ke luka yang sedang terbuka.

ARMADA turut memetik amaran dari Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin yang menyatakan bahawa harga barang dijangka naik mendadak. Cukai SST ke atas premis sewa akan dipindahkan kepada pembeli. Caj kontena di pelabuhan naik hingga 40%. Kos RON95 naik. Semua ini akan meledakkan harga barangan pengguna.

“Kerajaan hari ini dilihat lebih ghairah memerah rakyat daripada memikirkan jalan keluar yang adil dan lestari. Rakyat bukan mesin ATM negara. Ini bukan masa untuk menunjukkan angka cantik atas kertas, tetapi masa untuk jaga kelangsungan hidup rakyat,” kata Khairi.

ARMADA BERSATU Malaysia dengan tegas mendesak kerajaan:

• Batalkan perluasan SST,

• Tangguhkan kenaikan tarif elektrik,

• Hentikan penyasaran subsidi petrol RON95 sehingga rakyat benar-benar bersedia.

Khairi juga menggesa kerajaan agar mencari solusi kreatif dan berani dalam memperbesar kek ekonomi negara – termasuk reformasi struktur gaji, pelaburan berimpak tinggi, serta pemotongan ketirisan dan pembaziran dalam kerajaan – dan bukan sekadar mencukai rakyat yang sudah pun sesak.