KUALA LUMPUR, 26 Jun – Siswa BERSATU Malaysia menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh, yang melabel tindakan mahasiswa Sabah sebagai “bodoh dan kurang ajar” setelah mereka membakar gambar karikatur Perdana Menteri sebagai simbol protes. Menurut Ketua Penerangan Siswa BERSATU Malaysia, Aqmal Danial Haziq Ahmad Daud, tindakan simbolik itu adalah luahan kekecewaan terhadap kerajaan yang didakwa gagal menunaikan janji kepada rakyat.
Dalam kenyataannya, Siswa BERSATU Malaysia menolak dakwaan bahawa tindakan tersebut adalah vandalisme. Mereka menyifatkannya sebagai bentuk ekspresi politik yang sah dan diiktiraf secara global, seiring dengan demonstrasi, piket dan boikot yang sering digunakan sebagai medium bantahan aman. Aqmal menjelaskan bahawa protes simbolik seperti ini berlaku apabila ruang bersuara disempitkan dan kerajaan gagal mendengar keluhan anak muda.
Siswa BERSATU Malaysia turut mengecam sikap Dr. Akmal yang menurut mereka bersifat emosional dan tidak intelektual. Menurut kenyataan itu, pemimpin muda seharusnya menjadi jambatan antara mahasiswa dan kerajaan, bukan menjadi tukang cerca di media sosial. Label seperti “bodoh” bukan sahaja tidak membantu, malah menunjukkan ketidaksediaan pimpinan untuk mendengar dan menghormati perbezaan pandangan.
Siswa BERSATU Malaysia turut mengimbau sejarah 1970-an apabila Anwar Ibrahim bersama gerakan mahasiswa pernah membakar buku The Malay Dilemma yang ditulis oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Buku itu ketika itu diharamkan dan dianggap rasis serta bertentangan dengan semangat keadilan sosial. Namun, tindakan Anwar tidak pernah dicemuh, bahkan dijulang sebagai simbol keberanian dan idealisme mahasiswa. Maka, Siswa BERSATU mempersoalkan mengapa hari ini mahasiswa dihina apabila menggunakan pendekatan serupa terhadap kerajaan semasa.
