JANGAN KAITKAN TENTERA DENGAN SENTIMEN POLITIK DAN PERKAUMAN – YB MEJAR JENERAL KHLIR

KETEREH, 26 Jun 2025 — Ahli Parlimen Ketereh, YB Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor, menegaskan bahawa tiada sebarang isu yang perlu dipertikai berhubung pelantikan seorang pegawai kanan tentera berketurunan Cina sebagai leftenan jeneral, sambil menekankan bahawa perkhidmatan tentera tidak membezakan latar belakang kaum.

Menurut beliau, pangkat dan tanggungjawab dalam ketenteraan diberikan berdasarkan kelayakan serta kebolehan individu, bukannya atas faktor perkauman.

“Tiada apa perlu dipersoalkan berhubung leftenan jeneral berketurunan Cina yang pertama, kerana tentera adalah perkhidmatan tidak mengira latar belakang bangsa. Jika seseorang itu berkebolehan dan layak, apa salahnya dinaikkan pangkat? Ia tidak perlu dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Khlir, yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat, turut menggesa semua pihak agar tidak mencetuskan sebarang polemik atau sentimen yang boleh menggugat keharmonian dan profesionalisme dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jangan ada mana-mana pihak yang melatah dan cuba mencetuskan kritikan atau polemik, termasuk membuat kenyataan yang menjurus kepada isu politik atau perkauman. Jangan kaitkan tentera dengan politik dan sentimen perkauman,” tegas beliau.

Pelantikan bersejarah itu menerima pelbagai reaksi di media sosial, namun kenyataan tegas daripada tokoh veteran tentera seperti YB Datuk Khlir dilihat penting bagi meredakan ketegangan dan memastikan ATM kekal sebagai institusi yang bersatu dan bebas daripada sebarang pengaruh politik serta perkauman.