AZMIN CADANG USUL TERGEMPAR BAHAS LETUPAN PAIP GAS PUTRA HEIGHT

GOMBAK, 7 Julai 2025 – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengemukakan usul mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk mendedahkan laporan penuh siasatan insiden kebakaran talian paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu yang mengakibatkan kemusnahan harta benda serta mencederakan lebih 100 orang mangsa.

Dalam usul yang dikemukakan di bawah Peraturan Tetap 17(1) kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Dato’ Seri Azmin Ali yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor menyatakan rasa dukacita terhadap kejadian tersebut yang menyebabkan seramai 112 orang mengalami kecederaan dan trauma akibat gegaran dan letupan kuat. Beliau menegaskan bahawa insiden itu menimbulkan keresahan serta menghakis keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan infrastruktur awam di negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang itu juga, laporan siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia gagal menjawab banyak persoalan kritikal termasuk kemungkinan faktor kecuaian dan kegagalan pihak berkaitan dalam memantau kestabilan tanah secara masa nyata. Beliau turut mempersoalkan aktiviti pembangunan di tapak kejadian termasuk kehadiran jentera berat dan pencerobohan tanah yang boleh mempengaruhi kestabilan kawasan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri untuk segera mendedahkan laporan penuh siasatan, membentangkan Kertas Putih dalam Sidang Dewan Khas bagi memperhalusi punca insiden termasuk aspek kelulusan merancang pembangunan, serta melaksanakan penyelesaian menyeluruh demi keselamatan rakyat. Azmin turut mendesak supaya proses kelulusan pembangunan di kawasan talian paip (ROW) diperketat dengan pemantauan berkala menggunakan teknologi pengesanan.

“Saya mencadangkan supaya Dewan membahaskan perkara ini segera atas kepentingan orang ramai dan untuk menjamin keselamatan serta nyawa rakyat Selangor,” katanya dalam surat usul yang dihantar kepada Speaker Dewan Negeri Selangor baru ini.