Masjid Tanah, 7 Julai –
Ketua Armada BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham menegaskan bahawa pendekatan politik khidmat harus menjadi asas perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam usaha mendekati dan membela nasib rakyat.
Dalam ucapannya sempena Persidangan Tahunan BERSATU Bahagian Masjid Tanah, beliau menekankan bahawa BERSATU bukan sahaja harus memperjuangkan dasar-dasar besar di peringkat nasional, tetapi juga perlu hadir secara langsung dalam kehidupan seharian rakyat melalui khidmat yang konsisten, ikhlas dan berkesan.
“BERSATU tidak boleh sekadar muncul ketika pilihan raya. Kita mesti mengakar dalam hati rakyat – di kampung, di bandar, di setiap ruang kehidupan mereka. Inilah politik khidmat yang sebenar, politik yang memanusiakan rakyat dan mengangkat suara mereka dalam sistem negara,” tegas beliau di hadapan para perwakilan.
Dalam nada yang sama, beliau turut menekankan peranan penting yang perlu dimainkan oleh Armada sebagai sayap anak muda parti.
“Armada perlu menyerap sepenuhnya ke dalam denyut nadi masyarakat — membantu yang susah, membela yang tertindas, menjadi jambatan harapan kepada generasi muda dan rakyat marhaen. Armada mesti dikenali bukan sekadar sebagai jentera parti, tetapi sebagai sahabat rakyat yang setia dan sentiasa hadir,” tambahnya.
Hilman turut menyeru agar seluruh jentera parti memperkukuh jaringan akar umbi, terus menabur bakti tanpa mengira musim, dan memastikan setiap tindakan parti memberi impak nyata kepada masyarakat setempat.
