PORT DICKSON, 7 Julai 2025 – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU, hari ini menegaskan bahawa sokongan terhadap Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal utuh dan tidak berbelah bahagi meskipun terdapat usul daripada seorang individu di cawangan BERSATU Bahagian Port Dickson mencadangkan perubahan kepimpinan parti.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid dalam kenyataan medianya berkata, usul dari cawangan BERSATU Port Dickson yang mahu YB Tan Sri Muhyiddin memainkan peranan sebagai penasihat manakala YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menjadi Presiden hanyalah tindakan untuk mencari publisiti murahan dan langsung tidak mencerminkan pendirian akar umbi parti.
“Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden yang mendapat mandat daripada seluruh akar umbi untuk mentadbir BERSATU sehingga habis penggal. Sokongan terhadap beliau tidak berbelah bahagi,” katanya.
Beliau turut menegaskan ARMADA BERSATU akan terus mempertahankan institusi Presiden daripada sebarang ancaman sama ada daripada luar atau dalam parti sendiri. Tegasnya, tindakan Bahagian Port Dickson itu tidak langsung menggugat kestabilan parti pada ketika BERSATU sedang fokus memperkukuh gerak kerja dalam berkhidmat untuk rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media berkenaan keputusan mesyuarat BERSATU Bahagian Port Dickson yang meluluskan usul meminta perubahan dalam struktur tertinggi kepimpinan parti pada hujung minggu lalu.
