PETALING JAYA, 8 Julai – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan majoriti ahli akar umbi menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus memimpin parti sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata sokongan ini selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu tahun lalu, susulan usul Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Port Dickson yang mencadangkan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, mengambil alih kepimpinan parti daripada Muhyiddin semalam.
“Setakat ini, berdasarkan makluman daripada bahagian-bahagian seluruh negara, majoriti ahli akar umbi kekal menyokong Tan Sri Muhyiddin untuk terus memimpin parti sehingga PRU16,” katanya ketika dihubungi media FMT.
Tun Faisal turut memaklumkan bahawa ibu pejabat parti sedang mengumpulkan semua usul daripada 202 bahagian Bersatu untuk penelitian lanjut. Katanya, fokus utama Bersatu ketika ini adalah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan dan memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya akan datang.
Terdahulu, Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Akkil Aizat Othman, menjelaskan usul berkenaan bukan bertujuan menolak kepimpinan Muhyiddin, sebaliknya mencadangkan Hamzah sebagai ‘pemimpin barisan utama’ dengan Naib Presiden, Radzi Jidin, memimpin pengurusan parti.
