RMK-13; PEMBANGKANG GESA KERAJAAN LEBIH TELUS, JUJUR DAN SERIUS TANGANI “GAJAH DALAM BILIK”

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025 – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Ketua Pembangkang, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin membidas Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan dan keupayaan fiskal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sambil menggesa tindakan segera dan jujur terhadap isu-isu besar yang disifatkan sebagai “gajah dalam bilik” dalam negara.

Berucap semasa sesi perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Larut itu mempersoalkan kemampuan sebenar kerajaan untuk melaksanakan peruntukan RM611 bilion bagi tempoh lima tahun tanpa menambah beban cukai kepada rakyat.

“Persoalannya, dari mana datangnya RM430 bilion dana kerajaan ini? Apakah melalui hutang baharu, cukai tambahan atau pemotongan subsidi?”

RMK-13 Tidak Harus Jadi Retorik

Beliau turut memberi amaran agar RMK-13 tidak menjadi sekadar dokumen retorik atau “manifesto pilihan raya”, sebaliknya mesti berteraskan realiti semasa dan masalah rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup.

“Apa maknanya KDNK berkembang 5.5 peratus, jika 61 peratus rakyat tidak mempunyai simpanan RM1,000 untuk kecemasan? Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1 peratus jika harga ikan kembung naik RM3.70 dalam sebulan?” soal beliau.

Isu Boeing dan Tarif AS Ditegur

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut menyentuh isu pembelian 60 pesawat Boeing bernilai RM81 bilion yang dikaitkan dengan usaha menurunkan tarif balas AS terhadap Malaysia.

“Kalau benar pembelian ini bertujuan diplomatik, adakah ada perkara yang telah dikompromikan oleh kerajaan? Rakyat berhak tahu,” tegas beliau.

RMK-12 Gagal Capai Sasaran, PN Tampil Dengan Alternatif

Ketua Pembangkang turut menyatakan bahawa prestasi pertumbuhan KDNK di bawah pentadbiran sekarang gagal mencapai sasaran minimum RMK-12. Sebaliknya, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) terdahulu, katanya, berjaya mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus pada 2021 dan 2022.

“Kerajaan perlu ‘walk the talk’. Kita tidak boleh merancang sesuatu sebesar RMK-13 jika asas RMK-12 pun tidak tercapai,” katanya sambil mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas rentas parti bagi meneliti jurang pencapaian tersebut.

Skandal, Reformasi dan Krisis Keyakinan

Dalam nada lebih lantang, Ketua Pembangkang turut mempersoalkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi dan membanteras rasuah.

Beliau merujuk isu pelantikan hakim, ketidaktelusan dalam pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti serta skandal perlombongan nadir bumi di Sabah sebagai bukti wujudnya “trust deficit” terhadap kerajaan.

“Rakyat memerhati. Bila pemberi maklumat didakwa, manakala mereka yang berkuasa kelihatan kebal, ia menambah kekecewaan rakyat,” ujarnya.

Cadang Tubuh REE National Corporation (REENAS)

Sebagai sebahagian tawaran Perikatan Nasional, beliau mencadangkan penubuhan syarikat milik negara khusus bagi menguruskan sumber nadir bumi (REE), memandangkan kebanyakan sumber itu berada di negeri-negeri di bawah pentadbiran PN.

“Kalau minyak ada PETRONAS, maka REE perlu ada REENAS,” katanya sambil menekankan pentingnya keadilan kepada negeri-negeri pengeluar seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PN Tawarkan Pelan Serius, Bukan Gimik

Mengakhiri ucapannya, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa PN bukan hanya datang dengan kritikan, tetapi membawa pelan alternatif dan kompas moral yang jelas.

“Kami tidak sekadar mengitar semula slogan lama. Kami hadir dengan pelan berstruktur – tanpa sandiwara,” katanya.

Beliau menyeru agar semua pihak kembali kepada asas perpaduan nasional yang ikhlas, menjadikan RMK-13 benar-benar rancangan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Tiada siapa yang harus tertinggal. Ini bukan soal kaum atau wilayah, ini soal semua rakyat Malaysia,” tegas beliau.