“PM BUAT HOMEWORK SEBELUM DATANG PARLIMEN”, MUHYIDDIN DAKWA ANWAR BERBOHONG

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2025 – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa beliau mempertahankan kepentingan warga asing dalam isu subsidi RON95.

Tuduhan tersebut dibuat oleh Anwar semasa sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini, apabila beliau berkata: “Saya dengar ada juga Ahli Parlimen yang pertahankan orang asing. Pagoh kata kenapa bebankan orang asing kerana orang asing pun ada sumbangan kepada negara.”

Dalam satu kenyataan balas, Perdana Menteri Malaysia Ke-8 itu, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan satu pembohongan yang serius.

“Saya menafikan sekeras-keras tuduhan tersebut kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian sama ada dalam bentuk kenyataan media, sidang media atau menjawab pertanyaan wartawan,” tegas beliau.

YB Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mencabar Perdana Menteri untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan yang dibuat terhadapnya.

“Tuduhan Perdana Menteri jelas merupakan satu pembohongan di Dewan Rakyat,” katanya lagi dalam kenyataan bertarikh 5 Ogos 2025.