Kuala Lumpur, 23 September 2025 – Siswa BERSATU Malaysia melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji untuk menurunkan harga minyak seperti yang pernah dilaungkan sebelum mengambil alih kuasa.
Menurut kenyataan Ketua Penerangan Siswa BERSATU Malaysia, Aqmal Danial Haziq Ahmad Daud, anak muda khususnya mahasiswa berpegang pada janji “hari ini pegang, esok minyak turun”. Namun selepas 3 tahun sehingga minggu ini, harga runcit minyak tetap kekal pada paras RM2.05 bagi RON95, RM3.21 (RON97) dan RM2.93 (diesel Semenanjung), dan penurunan harga minyak hanya berkuatkuasa pada 30 September 2025 ini hanya selepas kerajaan mendapat tekanan kuat dari rakyat.
Penyasaran subsidi ini juga dilihat tersasar apabila kumpulan sasaran seperti mahasiswa dan kumpulan masyarakat berpendapatan rendah sepatutnya mendapat jumlah pengurangan harga minyak yang lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan tinggi. Namun apa yang berlaku adalah jumlah pengurangan harga minyak dan subsidi yang diterima adalah sama rata kepada setiap peringkat masyarakat dalam semua golongan B40, M40 dan T20.
Beban Berganda Mahasiswa
Mahasiswa yang bergantung kepada motosikal dan kereta kecil untuk ke kampus, latihan industri serta aktiviti persatuan dikatakan semakin terhimpit apabila kos perjalanan meningkat. Pinjaman PTPTN yang sepatutnya menampung keperluan akademik terpaksa digunakan untuk mengisi minyak.
Sepatutnya golongan mahasiswa mendapat jumlah subsidi yang lebih tinggi berbanding golongan yang lebih berpendapatan untuk menikmati penurunan harga petrol yang lebih banyak berbanding golongan yang berpendapatan tinggi dalam masyarakat.
Tambahan pula, harga makanan dan sewa bilik sekitar kampus turut naik kerana kos logistik yang dipindahkan oleh peniaga. Keadaan ini memaksa sebahagian mahasiswa berjimat keterlaluan hingga ada yang hanya makan sekali sehari.
Amanah yang Dikhianati
“Isu minyak bukan sekadar soal sen-sen, tetapi soal amanah. Janji yang dibuat kepada rakyat adalah tanggungjawab moral dan politik. Bila amanah ini gagal ditunaikan, jangan salahkan mahasiswa jika mereka bangkit menuntut,” tegas Aqmal.
Beliau menambah bahawa mahasiswa bukan penonton pasif, sebaliknya pewaris nurani negara. Sekiranya generasi muda hilang kepercayaan terhadap janji pemimpin, ia merupakan petanda jelas kerajaan kehilangan modal moral untuk terus memimpin.
