“BERSATU SEDANG KUAT DI BAWAH PIMPINAN YANG SAH DAN BERWIBAWA, TIDAK PERLUKAN NASIHAT OPORTUNIS POLITIK” – AMAR PARED

LANGKAWI, 26 Oktober — Ketua Bahagian BERSATU Langkawi, YB Amar Pared Mahamud, menegaskan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak memerlukan nasihat daripada mana-mana individu yang mempunyai sejarah politik oportunis dan sarat dengan kepentingan peribadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan serta podcast yang diterbitkan oleh YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (WAF) susulan penggantungan keahliannya daripada parti baru-baru ini. Menurut Amar Pared, tindakan serta kenyataan WAF jelas menunjukkan niat jahat terhadap parti dan kepimpinan BERSATU.

“Tindak-tanduk beliau memperlihatkan agenda peribadi yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri. Sebagai antara ahli terawal BERSATU dan ARMADA, saya amat mengenali perjuangan asal parti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amar Pared turut mengimbas perjalanan politik WAF, yang menurutnya penuh dengan melobi dan kepentingan diri. Katanya, selepas Langkah Sheraton, WAF meninggalkan bekas mentornya Syed Saddiq ketika beliau masih berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Belia dan Sukan. Tidak lama selepas itu, hasil lobi terhadap beberapa pimpinan, beliau dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri oleh Presiden parti ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, WAF yang ketika itu Ketua Bahagian BERSATU Titiwangsa turut melobi beberapa kerusi Parlimen “selamat” termasuk Bagan Serai, sebelum akhirnya bertanding di Machang. Selepas menang, katanya, WAF meninggalkan BERSATU Titiwangsa dan berpindah ke Machang, namun tewas dalam pemilihan parti di sana.

Menurut Amar lagi, kegagalan WAF sebagai Ketua ARMADA Nasional turut menjejaskan pentadbiran sayap pemuda parti apabila beliau tidak menyerahkan daftar perwakilan ARMADA kepada Jawatankuasa Pengurusan sebelum pemilihan parti. Langkah itu, katanya, bermotif politik untuk memanipulasi sokongan melalui penyusunan perwakilan “hantu” namun akhirnya dibatalkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat.

Lebih mengecewakan, katanya, selepas proksinya tewas, dokumen pentadbiran ARMADA juga tidak diserahkan dengan telus kepada kepimpinan baharu, menyebabkan urusan pentadbiran terganggu.

Mengulas lanjut, Amar menegaskan bahawa WAF tidak mempunyai asas moral mahupun kredibiliti untuk mengulas tentang hal ehwal BERSATU atau mengkritik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassinyang banyak berjasa menaikkan beliau dalam politik.

“BERSATU tidak memerlukan nasihat daripada oportunis politik yang sejarahnya sendiri dipenuhi dengan pengkhianatan, manipulasi dan kepentingan peribadi. Hipokrasi dan kepura-puraan tidak akan mampu disembunyikan selama-lamanya,” tegas beliau.

Beliau menambah, tiada individu yang lebih besar daripada parti, dan kekuatan BERSATU terletak pada perpaduan seluruh ahli di bawah kepimpinan yang sah dan berwibawa.