Kuala Lumpur, 4 Disember 2025 — Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) menzahirkan kebimbangan serius terhadap Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 26 Oktober lalu, susulan perjanjian itu didakwa menghadkan ruang dasar ekonomi negara serta berisiko menjejaskan kedaulatan Malaysia.
Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Ikatan Prihatin Rakyat IPR yang dipengerusikan YB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, gabungan itu menyatakan bahawa ART mengikat Malaysia untuk menyesuaikan dasar industri dan keselamatan ekonomi mengikut kehendak Amerika Syarikat menjadikannya sesuatu yang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat sama turut meneliti trend sokongan pengundi Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, khususnya pola penolakan masyarakat perniagaan dan pengundi Cina terhadap DAP/PH. Menurut IPR, perkembangan itu menunjukkan rakyat mahukan perubahan dasar yang lebih signifikan bagi memastikan masa depan negara lebih terjamin.
Sehubungan itu, IPR menyatakan kesediaan memperkenalkan kebijakan serta dasar progresif bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampu membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua lapisan rakyat.
Dalam usaha merangka hala tuju tersebut, IPR turut mengumumkan penganjuran Konvensyen Rakyat – Selamatkan Malaysia pada awal tahun hadapan. Konvensyen itu bakal melibatkan semua anggota IPR bagi membincangkan kerangka dasar menyeluruh merangkumi isu kos sara hidup, pembaharuan sistem pendidikan berteraskan nilai murni, keselamatan negara dan rakyat serta agenda perpaduan nasional.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Sekretariat IPR YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
