‘ZALEHA TOLAK TAWARAN RM50 JUTA’; KENAPA SENYAP, KENAPA TAK LAPOR? – MAS ERMIEYATI SAMSUDIN

MASJID TANAH, 22 DIS 2025 — Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), YB Mas Ermieyati Samsudin mempersoalkan pendedahan berhubung dakwaan tawaran sogokan RM50 juta kepada bekas Menteri Kesihatan bagi menggugurkan dasar Generational End Game (GEG), sambil menegaskan isu utama bukan soal penolakan tawaran tersebut, tetapi kegagalan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, YB Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata tindakan mendiamkan dakwaan tawaran sogokan itu menimbulkan persoalan besar tentang integriti dan ketelusan kerajaan, khususnya apabila ia melibatkan dasar kesihatan awam negara. Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui perkara sebenar kerana dasar awam tidak boleh dirunding atau dipengaruhi oleh wang.

Beliau turut merujuk laporan media yang memetik pendedahan bekas Pegawai Khas Menteri Kesihatan, Sivamalar Genapathy, yang mendakwa bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pernah ditawarkan sogokan berjumlah RM50 juta oleh pihak industri untuk menggugurkan dasar GEG, namun tawaran tersebut ditolak tanpa sebarang laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

Mas Ermieyati menegaskan bahawa kegagalan melaporkan tawaran sogokan, khususnya apabila melibatkan penjawat awam dan urusan rasmi kerajaan, adalah satu perkara serius yang boleh menimbulkan implikasi undang-undang. Di bawah Seksyen 25(3) Akta SPRM, terdapat kewajipan untuk melaporkan sebarang tawaran suapan yang diterima berkaitan tugas rasmi, dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan.

Sehubungan itu, beliau dengan tegas menuntut beberapa perkara, antaranya siasatan bebas dan menyeluruh oleh SPRM, penjelasan rasmi daripada bekas Menteri Kesihatan serta pihak kerajaan, selain jawapan jelas mengenai pihak industri yang terlibat, masa tawaran dibuat dan sebab mengapa ia tidak dilaporkan.

Mas Ermieyati turut menekankan keperluan jaminan tegas bahawa sebarang dasar awam, khususnya yang melibatkan kepentingan kesihatan rakyat, tidak boleh dirunding atau dipengaruhi dengan wang, selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik yang sering dilaungkan kerajaan.