‘SALAM DS JALALUDDIN, KAMI ADA 5 DI NEGERI SEMBILAN’ – YB HANIFAH ABU BAKER

SEREMBAN, 23 DIS 2025 — Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malyasia BERSATU Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, YB Mohamad Hanifah Abu Baker, mengemukakan pandangan terbuka terhadap kepimpinan UMNO Negeri Sembilan susulan kenyataan kontroversi Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, berhubung penolakan permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh mahkamah.

Menerusi satu hantaran di media sosial yang ditujukan kepada Exco Kanan Negeri Sembilan daripada UMNO, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias, Hanifah mempersoalkan tahap kesabaran ahli UMNO yang didakwanya semakin terhakis apabila kepimpinan parti itu terus berdiam diri walaupun dihina secara terbuka oleh rakan gabungan kerajaan. Beliau mendakwa UMNO kini dipandang rendah dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk dakwaan jawatan kepimpinan akar umbi dirampas walaupun UMNO menunjukkan sokongan penuh kepada kerajaan negeri.

Hanifah turut menzahirkan rasa kecewa terhadap nasib perjuangan UMNO yang disifatkannya sebagai “parti keramat” tetapi kini kehilangan maruah dan pengaruh, sambil menuduh DAP sebagai pihak dominan dalam kerajaan. Dalam kenyataan sama, beliau memberi bayangan kerjasama alternatif dengan menyatakan Perikatan Nasional PN mempunyai lima kerusi di Negeri Sembilan dan mengajak kepada kesepakatan demi agama, bangsa dan tanah air.

Sementara itu, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam hantaran berasingan mengecam kenyataan Yeo Bee Yin yang menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai “Another reason to celebrate this year end”. Jalaluddin menyifatkan kenyataan itu sebagai biadap, tidak berempati dan bercanggah dengan semangat perpaduan nasional serta aspirasi Malaysia MADANI. Beliau menegaskan keadilan ialah proses perundangan yang serius dan tidak wajar dijadikan bahan sindiran atau perayaan.

Jalaluddin juga memberi amaran bahawa kenyataan sinis sedemikian hanya akan meningkatkan polarisasi masyarakat dan menjejaskan usaha membina perpaduan dalam kalangan rakyat, sambil menggesa semua pihak menghentikan politik kebencian dan kembali memberi tumpuan kepada khidmat kepada rakyat.

Kenyataan saling berbalas ini memperlihatkan ketegangan yang semakin ketara antara pemimpin UMNO dan DAP di semua peringkat, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keutuhan serta hala tuju Kerajaan Perpaduan.