ADUN PERMATANG GESA SELANGOR PINDA ENAKMEN PENTERNAKAN BABI SELARAS TITAH SULTAN 

TANJUNG KARANG, 16 JAN 2026 — Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, ADUN Permatang, YB Nurul Syazwani Noh menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya segera meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi bagi memastikan titah DYMM Sultan Selangor dizahirkan secara jelas dan diikat dalam undang-undang negeri.

Beliau berkata, titah DYMM Sultan Selangor bertarikh 12 Januari 2026 berhubung pengurusan dan hala tuju penternakan babi di Selangor merupakan ketetapan dasar yang tegas, berprinsip serta mengambil kira kepentingan rakyat, keharmonian sosial dan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, titah berkenaan menetapkan bahawa tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjong Sepat dengan semua operasi sedia ada perlu dipindahkan ke Bukit Tagar, skala pengeluaran dihadkan kepada keperluan rakyat bukan Islam di Selangor tanpa melibatkan eksport, serta melarang penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri dalam sektor berkenaan.

Namun, Nurul Syazwani menegaskan bahawa ketetapan tersebut masih belum termaktub dalam Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010, yang menurutnya hanya memberi tumpuan kepada aspek teknikal seperti pelesenan, kebersihan dan operasi, tanpa mengikat kerajaan atau pihak berkuasa tempatan terhadap zon larangan, had pengeluaran dan larangan penggunaan dana awam.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri meminda enakmen berkenaan bagi memasukkan larangan berkanun terhadap penternakan babi di mana-mana lokasi kecuali Bukit Tagar, menetapkan had pengeluaran berdasarkan keperluan rakyat bukan Islam Selangor sahaja, serta menguatkuasakan larangan mutlak penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa pindaan tersebut, titah DYMM Sultan Selangor berisiko kekal sebagai kenyataan dasar tanpa kekuatan undang-undang, sekali gus membuka ruang untuk diputar belit, dilengah-lengahkan atau diketepikan oleh pihak eksekutif.