PERANG TIMUR TENGAH: RAKYAT DAN PENIAGA TERHIMPIT, KERAJAAN MASIH BERSAHAJA – RADZI JIDIN

PUTRAJAYA, 20 Mac 2026 – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Datuk Dr Radzi Jidin, melahirkan kebimbangan serius terhadap kesan konflik berterusan di Timur Tengah yang kini memasuki hari ke-21, melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran. Beliau menegaskan bahawa krisis tersebut telah memberi impak besar kepada ekonomi global, khususnya apabila Selat Hormuz yang menjadi laluan utama hampir 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas.

Menurut beliau, gangguan di laluan strategik itu turut memberi kesan kepada pasaran Asia termasuk China, India, Jepun dan Korea Selatan yang merupakan rakan dagang utama Malaysia. Selain minyak, sekitar 20 peratus gas asli cecair (LNG) dunia serta sebahagian besar perdagangan baja global juga melalui laluan sama. Keadaan bertambah tegang susulan serangan ke atas kemudahan tenaga termasuk di Ras Laffan di Qatar, yang merupakan antara hab LNG terbesar dunia.

Ahli Parlimen Putrajaya itu turut merujuk laporan The Wall Street Journal yang menjangkakan harga minyak global berpotensi melonjak sehingga AS$180 setong sekiranya konflik berlanjutan melepasi April. Beliau menegaskan, situasi ini bakal memberi tekanan besar kepada ekonomi domestik, meskipun harga petrol RON95 masih disubsidi.

“Lonjakan harga diesel sebanyak RM1.60 seliter dalam tempoh dua minggu sudah cukup memberi kejutan kepada rantaian bekalan. Ini akan meningkatkan kos operasi perniagaan dan akhirnya memberi kesan langsung kepada harga barangan serta perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa keterjaminan makanan negara boleh terjejas akibat gangguan rantaian bekalan global, sekali gus memberi tekanan kepada peniaga dan rakyat secara keseluruhan.

Dalam masa sama, Radzi mempersoalkan pendekatan kerajaan yang didakwa masih belum menampilkan pelan komprehensif bagi menangani krisis berkenaan. Menurutnya, setakat ini, langkah yang diumumkan hanyalah kenaikan harga diesel secara berperingkat serta keputusan untuk tidak mengadakan rumah terbuka rasmi kerajaan.

Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan penting, antaranya kemungkinan kenaikan berterusan harga diesel, risiko peningkatan aktiviti penyeludupan bahan api di Sabah dan Sarawak, serta ketiadaan kejelasan mengenai ambang harga minyak global yang akan mempengaruhi dasar subsidi RON95.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan memperincikan pelan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk mempertimbangkan semula langkah-langkah seperti diskaun atau pengecualian sewa premis kerajaan sebagaimana dilaksanakan ketika pandemik COVID-19.

“Kerajaan tidak boleh terus bersikap bersahaja dalam menghadapi krisis global yang semakin meruncing ini. Tindakan segera dan perancangan menyeluruh amat diperlukan bagi melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara,” tegas beliau.