DIGANTUNG 2 HARI – ADUN GOMBAK SETIA KESAL SIKAP SPEAKER ‘ALA DIKTATOR’, DAKWA DEMOKRASI MATI!

SHAH ALAM, 28 April 2026 – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mendakwa amalan demokrasi di Dewan Negeri Selangor semakin terhakis selepas beliau dikenakan penggantungan selama dua hari daripada sidang dewan bermula hari ini.

Menurut beliau yang juga Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, tindakan tersebut diambil oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San susulan pertikaiannya terhadap keputusan yang tidak membenarkan beliau mengemukakan soalan tambahan selepas soalan lisannya dijawab oleh pihak kerajaan negeri.

Hilman menjelaskan, soalan yang cuba dibangkitkan berkaitan isu sumber tenaga boleh diperbaharui, yang disifatkan sebagai topik penting dan relevan dalam konteks semasa, khususnya ketika dunia berdepan cabaran krisis tenaga global serta usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Saya amat kesal dengan sikap ala ‘diktator’ Speaker yang menghalang saya dan beberapa ADUN lain daripada bercakap demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan bukan bersifat politik, sebaliknya menyentuh kepentingan masa depan negeri, termasuk keperluan memperkukuh penggunaan tenaga lestari.

Mengulas lanjut, Hilman berkata tindakan menyekat perbahasan dalam dewan terhadap wakil rakyat yang dipilih rakyat mencerminkan kemerosotan prinsip demokrasi di negeri itu.

“Jika wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat pun dihalang daripada berbahas, maka ini tanda demokrasi mati di Negeri Selangor,” tegas beliau.

Setakat ini, tiada kenyataan balas rasmi dikeluarkan oleh pihak Speaker Dewan Negeri Selangor berhubung dakwaan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *