PETALING JAYA, 6 Okt – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), parti komponen India dalam Perikatan Nasional (PN), hari ini secara rasmi menamakan Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11. Keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan MIPP 2025 yang diadakan di Petaling Jaya dan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional PN.
Dalam ucapan dasarnya, Presiden MIPP, Punithan berkata keputusan sebulat suara itu dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kepimpinan dan integriti Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengurus negara ketika krisis serta kemampuan beliau membawa kestabilan politik dan hala tuju ekonomi yang mampan. Beliau turut menegaskan komitmen MIPP untuk menjadi wadah masyarakat India bersama PN dalam perjuangan membina Malaysia yang makmur dan inklusif.
YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional itu juga, dalam kenyataannya, menzahirkan penghargaan atas dukungan MIPP dan menegaskan bahawa penyertaan MIPP dalam PN membuktikan sifat inklusif gabungan itu dalam memperjuangkan nasib rakyat berbilang kaum. “Saya menyeru MIPP agar terus bekerja keras menambah keahlian dan memperkukuh organisasi demi kelangsungan hidup rakyat yang lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menyambut baik keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MIPP sebulat suara menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11. Menurut beliau, langkah ini memperkukuh perpaduan dalam Perikatan Nasional PN dan memperlihatkan komitmen gabungan itu untuk terus bekerja keras demi rakyat dan menjamin kemakmuran bersama.
Penyertaan MIPP sebagai parti komponen PN menandakan perluasan pengaruh gabungan tersebut dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ia turut memperkukuh matlamat PN untuk menampilkan kepimpinan berwibawa, berprinsip dan berpaksikan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
