BALIK PULAU, 6 Okt — Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU mempersoalkan ketegasan Perdana Menteri dalam menangani isu melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) susulan kontroversi penganjuran majlis rasmi yang didakwa menghidangkan arak baru-baru ini.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid, berkata maklumat rasmi menunjukkan Tourism Malaysia (TM) adalah penganjur tunggal Global Travel Meet 2025 yang berlangsung pada 1 hingga 3 Oktober 2025, termasuk Majlis Gala Night Dinner & Launch Ceremony di Sunway Resort Hotel. Katanya, perkara itu dapat disahkan menerusi laman web rasmi dan surat rasmi kementerian terbabit.
Menurut beliau, kenyataan Menteri MOTAC yang cuba menjarakkan kementerian daripada tanggungjawab penganjuran dengan alasan ia diserahkan kepada pemain industri adalah tidak munasabah. “Penjelasan itu seolah-olah memperlekeh kecerdikan rakyat. Itinerari rasmi jelas menunjukkan majlis tersebut berada dalam atur cara hari pertama anjuran Tourism Malaysia sendiri,” tegasnya.
ARMADA turut mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama kementerian berkenaan terpalit dengan isu membabitkan urus tadbir dan imej. Antara yang disenaraikan ialah kontroversi video Visit Malaysia Year 2026, penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar, insiden kekecohan pelancong China di KLIA pada Jun 2023 serta keputusan TM menandatangani kerjasama dengan Starbucks Malaysia bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Perdana Menteri mesti menunjukkan ketegasan terhadap kementerian yang prestasinya lemah. Jika insiden ini juga tidak diambil tindakan, persepsi bahawa golongan atasan kebal daripada undang-undang akan terus kuat. Untuk isu besar seperti hidangan arak dalam majlis rasmi, kerajaan perlu buktikan prinsip akauntabiliti benar-benar wujud,” kata Harris.
Beliau menegaskan ARMADA menuntut kepimpinan tertinggi MOTAC — termasuk menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan ketua pengarah Tourism Malaysia — mengakui kecuaian serta memohon maaf kepada rakyat, bukan sekadar memberikan alasan yang kini menjadi bahan jenaka di media sosial.
