JANGAN SAMPAI KERAJAAN DIANGGAP “ORDER BARANG LAIN, SAMPAI BARANG LAIN” – HAMZAH ZAINUDIN

KUALA LUMPUR, 21 Jan 2026 — Ketua Pembangkang, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin berucap dalam perbahasan Titah Diraja pada Penggal Kelima Parlimen ke-15 semalam, Ahli Parlimen Larut itu merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas keprihatinan Baginda terhadap nasib rakyat dan hala tuju negara.

“Titah Tuanku merupakan satu amanah besar yang wajib diterjemahkan dengan pelan tindakan yang jujur dan berani oleh pimpinan negara,” katanya.

Teguran Raja-Raja Melayu wajar dihormati

Hamzah turut menekankan bahawa teguran Raja-Raja Melayu, termasuk pendirian tegas Sultan Selangor berhubung isu LGBT dan penternakan babi baru-baru ini, mencerminkan keprihatinan institusi Raja terhadap masa depan negara.

Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memandang ringan atau menormalisasikan gejala yang bercanggah dengan nilai agama dan moral masyarakat, serta memberi amaran supaya titah Raja-Raja Melayu tidak diperkecilkan atau dicabar.

Kos sara hidup terus menghimpit rakyat

Menyentuh isu ekonomi, Hamzah berkata kerajaan tidak seharusnya terlalu berbangga dengan pertumbuhan KDNK 4.7 peratus sehingga September 2025 tanpa melihat realiti sebenar kehidupan rakyat.

Beliau memetik laporan media dan kajian yang menunjukkan peningkatan harga sayur-sayuran antara 30 hingga 50 peratus, kenaikan kos barangan sekolah sehingga 33 peratus, serta lebih 77 peratus rakyat Malaysia bergelut dengan kos sara hidup.

“Rakyat mengeluh, gaji baru masuk sudah habis. Ramai terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan dua pekerjaan sekadar untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Hamzah turut menegur isu underemployment apabila hampir dua juta rakyat bekerja dalam pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan dan gaji yang tidak mencukupi, walaupun kadar pengangguran rasmi kelihatan rendah.

Aliran keluar dana asing tanda keyakinan merosot

Dalam masa sama, Ketua Pembangkang itu mendedahkan sebanyak RM28.8 bilion dana asing telah keluar dari Bursa Malaysia sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, dengan RM22.3 bilion direkodkan pada tahun 2025 sahaja.

Menurut beliau, aliran keluar dana secara berterusan merupakan petunjuk jelas terhadap hakisan keyakinan pelabur berhubung dasar dan keupayaan kerajaan mengurus ekonomi.

Kebimbangan terhadap perjanjian ART

Hamzah turut membangkitkan kebimbangan PN terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), khususnya implikasi terhadap kedaulatan negara dalam menentukan dasar ekonomi dan perdagangan.

Beliau mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat terlalu berkompromi berbanding negara jiran seperti Indonesia yang bertegas mempertahankan kepentingan nasional, sambil menggesa kerajaan merunding semula terma-terma perjanjian yang merugikan.

Isu perlembagaan dan penyalahgunaan kuasa

Dalam aspek politik dan tadbir urus, Hamzah menekankan keperluan menghormati roh dan semangat Perlembagaan, serta memberi amaran terhadap penyalahgunaan kuasa oleh institusi tertentu.

Beliau merujuk kes Yusof Rawther sebagai contoh penderitaan akibat salah guna kuasa, selain membangkitkan isu pengambilalihan IJM Corp Berhad yang disifatkan tidak adil kepada pemegang saham.

Cadangan pembaharuan politik

Hamzah menyatakan PN menyokong had dua penggal jawatan Perdana Menteri dengan syarat Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa dan kebertanggungjawaban.

Beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengamalkan “tyranny of the majority” dalam menggubal dasar, termasuk isu Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibantah pelbagai pihak.