KOTA MADANI; “ANWAR IBRAHIM PILIH TABUR BERBILLION RINGGIT UNTUK MONUMEN EGO” – WAF

MACHANG, 2 Julai 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, YB Wan Ahmad Fayhsal, semalam membidas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung gesaan agar penjawat awam mempertahankan projek Kota Madani, yang disifatkannya sebagai satu pembaziran berbilion ringgit demi “monumen ego” Perdana Menteri.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, seruan tersebut menunjukkan kerajaan Madani semakin terpisah daripada realiti rakyat yang berdepan krisis kos sara hidup, sekolah-sekolah daif, dan hospital yang kekurangan ubat.

“Ini bukan pembangunan, ini bukan kemajuan – ini adalah pembaziran berselindung di sebalik retorik Madani yang sudah hilang makna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengecam tindakan Perdana Menteri menggunakan ayat suci al-Qur’an dan istilah Madani bagi menjustifikasi projek berkenaan, yang disifatkannya sebagai satu penghinaan kepada agama dan akal rakyat.

“Ia umpama membalut najis dengan serban – tampak suci di luar, tetapi busuk dan jijik di dalam,” tegas beliau.

Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan sama ada ini adalah bentuk sebenar perjuangan reformasi kerajaan hari ini, yang menurutnya, hanya meminta penjawat awam menjadi “perisai kepada kerakusan politik dan projek vanity seorang Perdana Menteri yang obses dengan legasi peribadi.”

Beliau menyeru penjawat awam agar menolak apa yang digelarnya sebagai pengkhianatan terhadap rakyat Malaysia.

“Jika anda benar-benar sayangkan Malaysia – bangkit, dan tolak pengkhianatan ini. Kota Madani bukan lambang kemajuan, ia adalah simbol keangkuhan seorang pemimpin yang lupa daratan,” katanya.

Projek Kota Madani sebelum ini diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai salah satu mercu pembangunan negara di Putrajaya, namun mengundang kritikan pembangkang yang menyifatkannya sebagai tidak berkeutamaan dalam keadaan ekonomi rakyat yang semakin tertekan.