PERAK, 21 JULAI 2025 – Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Nurul Ezzati Azmi, menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai “kejutan untuk rakyat” yang dijangka hari ini atau esok sebagai tanda seorang pemimpin yang sedang panik, bukan pemimpin yang yakin dan tegas. Menurutnya, kenyataan Anwar itu menunjukkan kegusaran mendalam seorang Perdana Menteri yang semakin hilang sokongan rakyat dan berada di hujung kepimpinannya.
Beliau berkata, ketakutan Anwar bukan berpunca daripada pihak luar, tetapi datang daripada tekanan dalaman gabungan politik Kerajaan Perpaduan sendiri yang kini semakin reput. “Tindakan ini adalah usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada gelombang kebangkitan rakyat yang kian tak terbendung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, rakyat Malaysia semakin sedar bahawa Anwar telah gagal menunaikan janji-janji reformasi yang dilaungkan selama ini termasuk menurunkan kos sara hidup, mentadbir dengan adil, serta menjaga maruah institusi negara. “Beliau bukan lagi simbol reformasi, sebaliknya kegagalannya kian terserlah,” tegasnya.
Menurut Nurul Ezzati, pelabur luar juga kini dilaporkan mula menarik diri atau menangguhkan komitmen mereka terhadap Malaysia berikutan ketidakstabilan politik pentadbiran Anwar. Beliau mendakwa terdapat desas-desus bahawa kerajaan pimpinan Anwar bakal tumbang seawal Ogos 2025, dan pelabur tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan ekonomi negara yang semakin lemah.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia hadir pada Perhimpunan #TurunAnwar pada 26 Julai ini sebagai referendum suara rakyat terhadap kegagalan pentadbiran sedia ada. “Ini bukan perhimpunan politik semata-mata, tetapi perhimpunan maruah untuk masa depan negara. Kehadiran rakyat akan menjadi isyarat bahawa mandat sebenar adalah milik rakyat, bukan milik satu tokoh atau parti pemerintah,” katanya.
