Merujuk Kenyataan Media Ketua Armada Bersatu Batu Gajah; Bantahan Terhadap Cadangan Pelantikan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam Tidak Selaras Dengan Perlembagaan
1. Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, dan struktur pentadbiran negara sudah pun menyediakan mekanisme yang adil untuk mengurus hal ehwal semua agama melalui kementerian sedia ada seperti Kementerian Perpaduan Negara. Cadangan ini bukan sahaja tidak selaras dengan semangat Perlembagaan, tetapi juga berpotensi menggugat keharmonian dan sensitiviti agama di Malaysia.
2. Kami menyelar tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam. Cadangan ini jelas menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap struktur pentadbiran negara dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia. Ia boleh menimbulkan ketegangan agama dan memecahbelahkan perpaduan nasional yang telah lama terjalin.
3. Kami menghormati kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan, namun usaha untuk mempolitikkan hal ehwal agama melalui pelantikan menteri khusus bagi agama-agama lain boleh menjejaskan perpaduan nasional. Fokus sepatutnya diberikan kepada pengukuhan institusi sedia ada yang menjaga kepentingan semua kaum dan agama tanpa menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
4. ARMADA BERSATU Batu Gajah menyeru semua pihak untuk menolak cadangan ini demi mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara.
NADHIR ZUHAIR NOZI
KETUA ARMADA BERSATU BATU GAJAH
13 FEBRUARI 2025 (KHAMIS)