RAZALI IDRIS KECAM TCO SELEKTIF; ANGGAP PEMBUNUHAN KARAKTER PEMIMPIN BERSIH, TIADA REKOD JENAYAH

KIJAL, 14 April 2025 – Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Terengganu, YB Datuk Razali Idris, mengecam keras tindakan mana-mana pihak yang didakwa melakukan intimidasi politik terhadap parti lawan melalui TCO selektif.

“Saya mengikuti dengan penuh rasa kecewa apabila gambar YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang sedang “ditahan” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menjadi tular. Gambar itu menggambarkan seolah-olah beliau seorang pesalah besar,  dipinggir, diawasi, dan dipaksa menunggu seperti tiada maruah sebagai ketua kerajaan negeri.”

Dalam kenyataan medianya hari ini, YB Datuk Razali Idris yang juga ADUN Kijal menyifatkan tindakan menahan dan memaksa Dr. Samsuri menunggu seolah-olah beliau seorang penjenayah besar sebagai bentuk intimidasi politik dan pembunuhan karakter terhadap lawan kerajaan.

“Apakah ini cara kita melayan seorang pemimpin negeri yang telah terbukti bersih, tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah guna kuasa, jenayah atau rasuah.”

Beliau turut mempersoalkan alasan yang diberikan kononnya penahanan itu sebahagian daripada prosedur biasa di bawah kuasa autonomi imigresen Sabah, dan menyifatkan alasan itu sebagai tidak konsisten dan tidak relevan. 

“Saya sendiri pernah berkunjung ke Sabah atas urusan rasmi dan tidak pernah dilayan sedemikian. Jika ini SOP biasa, mengapa hanya Dr Sam dikenakan tindakan sebegitu? Kenapa tidak kepada VIP lain yang malah sedang menghadapi kes mahkamah?” katanya lagi.

Razali turut mengingatkan bahawa Dr. Samsuri bukan calang-calang individu, malah seorang pakar aeroangkasa yang berpendidikan tinggi dari United Kingdom. Justeru itu, dakwaan kononnya beliau tidak memahami kuasa imigresen Sabah dianggap tidak berasas.

Beliau menyeru rakyat Malaysia menilai isu ini secara adil dan berperikemanusiaan, serta tidak terpengaruh dengan naratif pembunuhan karakter. Jangan leka dengan membiarkan institusi negara dijadikan alat politik untuk menjatuhkan maruah pemimpin dan mana-mana individu yang mempunyai ideologi berbeza.

YB Datuk Razali Idris menuntut layanan yang adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, wilayah atau latar politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *