SUNGAI BAKAP, 27 April 2025 — Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Pulau Pinang semalam mengadakan program ziarah prihatin ke atas keluarga Saudara Faizal, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Nibong Tebal, selepas anak perempuan beliau, Nur Fara Suzana binti Mohd Faizal, terlibat dalam satu kemalangan tragis.
Dalam kejadian kemalangan tersebut, Nur Fara Suzana, 18 tahun, dilaporkan bertembung dengan sebuah lori sebelum digelek, menyebabkan beliau mengalami patah di tiga bahagian tulang pinggul serta beberapa kecederaan lain yang serius. Insiden itu berlaku berhampiran kawasan Sungai Bakap, dan beliau kini sedang menerima rawatan lanjut.
Program ziarah ini diketuai oleh Setiausaha BPN BERSATU Pulau Pinang, Saudara Rasman Farish, bersama-sama barisan kepimpinan BPN, ketua-ketua bahagian, serta Ketua Srikandi BERSATU Negeri. Mereka hadir di kediaman keluarga mangsa di Taman Seri Seruling, Sungai Bakap, bagi menyampaikan sokongan moral dan bantuan kepada keluarga Saudara Faizal dalam saat-saat sukar ini.
Dalam ucapan ringkasnya, Saudara Rasman Farish menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar Nur Fara Suzana diberikan kekuatan serta kesembuhan segera. Beliau turut menegaskan komitmen BERSATU Pulau Pinang untuk sentiasa bersama ahli dan keluarga mereka dalam menghadapi dugaan.
Program ziarah yang memperlihatkan keprihatinan dan semangat kekeluargaan ini turut dihadiri oleh Bendahari dan Ahli Jawatankuasa BPN Pulau Pinang, serta Ketua Srikandi BERSATU Negeri Pulau Pinang, juga Ketua-Ketua Bahagian BERSATU Negeri Pulau Pinang. Budaya prihatin dalam organisasi ini akan terus menjadi tunjang kepada perjuangan BERSATU, khususnya dalam memastikan kebajikan anggota serta keluarga mereka terus diberi perhatian.