TANGGUH KENAIKAN RON95, PEMBELIAN PESAWAT BOEING – HAMZAH ZAINUDIN

Kuala Lumpur, 5 Mei 2025 — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin hari ini menggesa kerajaan agar menangguhkan beberapa langkah perubahan dasar fiskal susulan impak tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia.

Dalam ucapannya semasa perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini yang membincangkan isu tarif AS, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu menilai semula pendekatan fiskal negara demi melindungi rakyat dan kestabilan ekonomi dalam keadaan semasa yang tidak menentu.

“Kenaikan harga RON95 pada Jun 2025 ini, supaya kerajaan ambil kira dan kalau boleh kita tangguhkan, kita tangguhkan. Begitu juga dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai 2025, kita tangguhkan,” tegas beliau.

Selain menangguhkan penyasaran subsidi minyak dan tarif elektrik, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat turut mencadangkan agar kerajaan menangguhkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau juga mempersoalkan keperluan pembelian 30 buah pesawat Boeing oleh kerajaan ketika ekonomi negara berada dalam fasa ketidaktentuan. “Kalau boleh kita tangguhkanlah dahulu,” katanya, merujuk kepada pembelian tersebut.

Tambah beliau, sebarang perubahan dalam dasar fiskal yang memberi tekanan kos kepada rakyat serta melemahkan sentimen perniagaan wajar dipertimbang semula agar tidak membebankan pengguna dalam jangka masa pendek dan panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *