KEGAGALAN KERJASAMA POLITIK PUNCA KERAJAAN PH TUMBANG, IBARAT MINYAK DAN AIR TIDAK BOLEH BERCAMPUR – HAMZAH ZAINUDIN

SINGAPURA, 22 Mei – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menyampaikan ucaptama dalam satu sesi anjuran ISEAS – Institut Yusof Ishak di Singapura, dengan tajuk “Pandangan Menyeluruh Terhadap Landskap Politik Malaysia: Membina Konsensus Nasional Baharu”. Dalam ucapannya yang menyentuh pelbagai aspek penting politik Malaysia, beliau menegaskan bahawa kestabilan hanya dapat dicapai menerusi kesepakatan yang jujur dan realistik.

Beliau memulakan dengan ucapan terima kasih kepada ISEAS atas jemputan tersebut, serta mengucapkan tahniah kepada rakyat Singapura atas kejayaan menjalankan pilihan raya dengan lancar baru-baru ini.

“Singapura adalah negara kota yang maju dan berjaya. Kami di Malaysia, masih banyak yang perlu diimbangi,” ujar beliau secara jujur.

Sorotan Sejarah Politik Malaysia

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin kemudiannya membawa hadirin menyelusuri perubahan besar dalam landskap politik Malaysia sejak merdeka. Katanya, sejak awal lagi, politik Malaysia dikuasai oleh UMNO melalui gabungan Barisan Nasional (BN). Namun, pada tahun 2008 menyaksikan perubahan besar apabila BN buat pertama kali gagal memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan beberapa negeri utama.

“Keputusan ini didorong oleh kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup yang meningkat, ketidakcekapan pentadbiran dan dakwaan penyalahgunaan kuasa,” jelasnya.

Perubahan politik memuncak dalam PRU14 pada 2018, apabila BN gagal membentuk kerajaan Persekutuan dan kehilangan penguasaan terhadap negeri-negeri strategik seperti Johor, Kedah, Sabah dan Melaka. Skandal 1MDB menjadi pencetus utama kepada kejatuhan tersebut seterusnya menjadikan gabungan Pakatan Harapan PH iaitu PKR, DAP, BERSATU dan beberapa anggota parti lain sebagai kerajaan. 

“Johor amat simbolik kerana di situlah UMNO dilahirkan — di Istana Besar Johor,” katanya.

Kejatuhan PH dan Kebangkitan Perikatan Nasional

Namun begitu, tidak sampai dua tahun selepas kemenangan bersejarah itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada tahun 2020 dalam satu peralihan kuasa yang pertama kali berlaku di tengah penggal pemerintahan. Peralihan ini menyaksikan kemunculan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ramai menyebut peristiwa itu sebagai “Langkah Sheraton”, namun YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan ia bukanlah satu rampasan kuasa seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

“Itu bukan konspirasi atau rampasan kuasa — sebaliknya peralihan kuasa secara perlembagaan yang berlaku mengikut lunas demokrasi berparlimen,” katanya.

Menurut beliau, keruntuhan kerajaan PH pada ketika itu berpunca daripada kerapuhan dalaman gabungan tersebut, termasuk pergolakan antara parti-parti komponen yang merosakkan kestabilan dan kepercayaan antara satu sama lain.

“Minyak dan Air Tidak Bercampur”

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menggunakan satu perumpamaan yang dapat memberi gambaran paling tepat tentang punca sebenar kegagalan kerjasama politik dalam PH:

“Kegagalan itu membuktikan satu hakikat – tiadanya konsensus yang berfungsi akibat perbezaan asas dan ideologi yang ketara. Gabungan sebegitu memang ditakdirkan untuk gagal dari awal. Seperti kata pepatah, minyak dan air tidak boleh bercampur.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *