KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 — Siswa Bersatu hari ini mengecam tindakan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang didakwa mengugut untuk menyaman Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, susulan persoalan yang dibangkitkan berhubung isu pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA), khususnya berkaitan permohonan Program TESP.
Dalam satu kenyataan media rasmi, Presiden Siswa Bersatu Malaysia, Ameer Hazeem Mohd Zaky menyifatkan tindakan Asyraf itu sebagai satu bentuk intimidasi terhadap suara rakyat yang disampaikan melalui wakil rakyat.
“YB Mas hanya menjalankan amanah dan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat. Menyoal, menegur dan menuntut penjelasan adalah tanggungjawab Parlimen, bukan satu kesalahan,” tegas Ameer.
Kenyataan itu turut menyelar pendekatan defensif Asyraf yang dianggap bercanggah dengan prinsip integriti dan keterbukaan yang sering beliau laungkan sebelum ini.
“Sekiranya tiada penyelewengan atau salah urus, hadapilah kritikan dengan fakta. Tindakan saman hanyalah cubaan menutup mulut pengkritik. Rakyat hari ini tidak mudah digertak,” katanya lagi.
Ameer turut mempersoalkan kredibiliti Dr. Asyraf sebagai seorang lantikan politik yang didakwa menjadikan institusi awam sebagai medan mempertahankan reputasi peribadi.
“Individu yang dahulunya lantang di media sosial kini berubah menjadi watak yang terlalu sensitif terhadap kritikan – hanya berani melalui notis guaman,” katanya sinis.
Siswa Bersatu menyatakan solidariti bersama YB Mas Ermieyati, menyifatkan beliau sebagai pembawa suara mahasiswa dan pelajar-pelajar institusi di bawah MARA yang berdepan pelbagai ketidakpastian, termasuk isu pinjaman dan komunikasi dasar.