UNIVERSITI PERLU HORMAT HAK AUTONOMI MAHASISWA, JANGAN ADA CAMPUR TANGAN POLITIK – SISWA BERSATU

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Siswa Bersatu Malaysia bersama Srikandi Muda BERSATU Malaysia di bawah Biro Mahasiswa tampil menyuarakan kebimbangan terhadap isu kebebasan mahasiswa selepas pembatalan forum anjuran badan pelajar di Universiti Malaya oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) baru-baru ini. Dalam satu kenyataan media, mereka menyifatkan tindakan menarik semula kelulusan program secara mendadak itu sebagai satu langkah mundur yang mengekang hak asasi mahasiswa untuk berorganisasi dan berhimpun secara aman.

Naib Presiden Siswa Bersatu Malaysia, Hakim Helmy berkata tindakan HEP ini jelas bertentangan dengan matlamat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sepatutnya memperkasa autonomi pelajar dan menjamin kebebasan hak asasi mereka. “Tindakan ini mengehadkan ruang mahasiswa untuk aktif di kampus dan mencalar keyakinan terhadap sistem tatatertib yang sepatutnya lebih adil dan telus,” tegas beliau.

Menurut kenyataan itu lagi, Siswa Bersatu dan Srikandi Muda berpandangan bahawa pembatalan forum selepas kelulusan diberikan menimbulkan persepsi wujudnya campur tangan pihak tertentu, termasuk kemungkinan pengaruh politik, dalam keputusan pihak universiti. Mereka bertegas bahawa HEP tidak wajar membenarkan mana-mana pihak membawa unsur politik dalam membuat keputusan yang menyekat kuasa autonomi mahasiswa.

Biro Mahasiswa & Jaringan Antarabangsa Srikandi Muda, Najiah Babar, turut menekankan bahawa kebebasan mahasiswa untuk menganjurkan program, berhimpun secara aman, berorganisasi dan bersuara tidak seharusnya dikongkong selagi ia mematuhi peraturan dan tatacara yang jelas. Katanya, mahasiswa berhak diberikan ruang menguruskan hal ehwal sendiri tanpa sebarang tekanan atau campur tangan luar.

“Kami berharap kuasa autonomi mahasiswa sentiasa dijamin selaras dengan AUKU, Perlembagaan Persekutuan dan Universal Declaration of Human Rights (UDHR) di bawah Artikel 20. Universiti sepatutnya menjadi medan ilmu dan idea yang bebas, bukan terikat dengan pengaruh politik yang membataskan kebebasan bersuara,” tegas kenyataan bersama itu. Mereka menyeru pihak universiti agar menghormati peranan mahasiswa sebagai pemangkin perubahan dan suara generasi masa depan negara.