GOMBAK, 4 Jun 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia merangkap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gombak Setia, YB Hilman Idham, menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan operasi penguatkuasaan penggunaan tong gas subsidi yang dikenali sebagai OPS GASAK, yang dikuatkuasakan bermula 1 Mei 2025.
Dalam satu video yang tular di media sosial, YB Hilman Idham mengulas bahawa tindakan kerajaan untuk menguatkuasa semua peniaga – sama ada besar atau kecil – yang menggunakan lebih daripada tiga tong gas pada satu-satu masa supaya beralih kepada tong gas komersial berwarna ungu, boleh menjejaskan kelangsungan hidup peniaga kecil.
“Saya lihat ada usaha daripada kerajaan yang menyatakan bahawa rata-rata peniaga kecil tidak terkesan dalam isu ini, sebab guna hanya satu ataupun dua tong gas. Tapi saya nak bagi tahu, misalnya peniaga food truck yang jual burger, mereka guna kira-kira tiga atau empat tong gas pada satu masa. Apakah mereka tidak tergolong dalam golongan peniaga kecil?” soal beliau.
Menurut beliau, perubahan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada peniaga, malah dijangka akan menyebabkan peningkatan harga makanan, termasuk harga burger dan makanan-makanan gerai kecil lain yang popular dalam kalangan rakyat.
Dalam kenyataan itu juga, YB Hilman Idham turut membangkitkan persoalan berkaitan keutamaan penguatkuasaan oleh kerajaan.
“Saya selalu dengar kerajaan menyalahkan warganegara asing dalam hal penyalahgunaan subsidi. Jadi kenapa kerajaan tak mulakan dulu pelaksanaan ini terhadap lebih 2.3 juta pekerja asing dalam negara kita?” katanya sambil menggesa agar rakyat tempatan dan peniaga kecil tidak terus ditekan oleh dasar yang dilihat tidak seimbang.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan seharusnya lebih prihatin terhadap kesan langsung kepada rakyat marhaen dan tidak terburu-buru dalam melaksanakan dasar yang boleh menjejaskan ekonomi perniagaan mikro.
Pelaksanaan OPS GASAK sebelum ini diumumkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menangani penyalahgunaan tong gas bersubsidi, namun telah mencetuskan pelbagai reaksi terutama daripada golongan peniaga kecil.