KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin hari ini menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri tidak boleh dijadikan perisai untuk mengelak daripada proses perbicaraan di mahkamah.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan rujukan undang-undang oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung isu imuniti, Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang berkata keputusan itu selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta doktrin pemisahan kuasa yang menjadi tunjang sistem demokrasi negara.
“Sesiapa pun yang memimpin negara, beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan tauladan kepimpinan kepada rakyat, dengan bersedia untuk melalui setiap proses kehakiman secara terbuka, demi imej serta kemuliaan Institusi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut membidas dakwaan bahawa tindakan undang-undang terhadap seorang Perdana Menteri boleh bersifat strategik atau bermotif politik. Menurut Dato’ Seri Hamzah Zainudin, sistem kehakiman negara telah pun dilengkapi dengan mekanisme untuk menapis saman yang remeh atau berniat jahat.
“Jika Perdana Menteri mendakwa rujukan beliau itu bertujuan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada ”litigasi yang mungkin berlaku secara strategik”, “bermotifkan politik”, atau “mengganggu institusi”, saya sepenuh dan sesungguhnya yakin bahawa, sistem perundangan Malaysia sudah pun mempunyai mekanisme menapis saman yang remeh atau berniat jahat,” ujarnya.
Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut menyeru agar semua pihak, termasuk kepimpinan tertinggi negara, menghormati peranan dan kebebasan badan kehakiman sebagai benteng terakhir keadilan dalam sistem demokrasi.
Beliau turut menegaskan, jika ada mana-mana pihak cuba memberikan gambaran seolah-olah badan kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan yang sah berbanding tuduhan bermotif politik, ianya merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan badan kehakiman.