KUALA LUMPUR, 7 Jun 2025 — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU, hari ini mengecam keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwa telah mengarahkan syarikat telekomunikasi tempatan untuk menyerahkan data rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu ARMADA, Na’im Brundage, arahan tersebut disertai ancaman tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara selama enam bulan bagi mana-mana syarikat yang gagal mematuhi arahan berkenaan.
Media melaporkan bahawa jenis data yang dikumpulkan termasuk rekod panggilan, aktiviti internet dan lokasi GPS pengguna. Lebih membimbangkan, proses pengumpulan data ini didakwa berlaku tanpa sebarang bentuk persetujuan daripada individu terbabit.
Na’im turut menzahirkan kebimbangan berhubung ketelusan operasi tersebut, memandangkan rakyat hanya mengetahui mengenai isu ini melalui laporan media antarabangsa dan bukannya daripada makluman rasmi kerajaan atau SKMM sendiri.
Meskipun SKMM telah memberi jaminan bahawa data yang dikumpulkan tidak mengandungi maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti individu secara spesifik, ARMADA BERSATU turut mempersoalkan ketiadaan penjelasan berhubung kaedah pemprosesan data tersebut, protokol perlindungan yang diguna pakai, serta mekanisme pengawasan dan audit bagi mencegah penyalahgunaan.
ARMADA BERSATU menggesa agar pengumpulan data rakyat secara besar-besaran ini dihentikan serta-merta. Mereka menegaskan bahawa sebarang inisiatif pengumpulan data perlu berlandaskan prinsip persetujuan jelas daripada pemilik data, disertai konsultasi awam yang menyeluruh serta pemantauan bebas oleh badan yang berkecuali.