MUHYIDDIN SOAL PERJANJIAN AMBALAT; ADAKAH TANAH DAN MARUAH MALAYSIA TERKORBAN?

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, mempersoalkan keputusan kerajaan untuk menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement – JDA) dengan Indonesia di kawasan maritim yang masih menjadi pertikaian, iaitu Blok Ambalat.

Dalam kenyataan beliau, Muhyiddin mengingatkan bahawa isu Ambalat telah dibangkitkannya di Parlimen pada 13 Jun 2023, dan beliau telah menerima jaminan daripada Perdana Menteri bahawa “tidak akan ada seinci pun tanah negara yang dikorbankan” dalam sebarang rundingan berkaitan Ambalat.

Namun, perkembangan terkini pada 27 Jun 2025 menyaksikan Malaysia dan Indonesia memeterai JDA tanpa sebarang penjelasan terperinci diberikan kepada Parlimen mahupun rakyat. Menurut Muhyiddin, tindakan ini mencetuskan persoalan besar mengenai kedudukan kedaulatan Malaysia terhadap Ambalat.

“Rakyat berhak tahu – apakah benar Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam perjanjian ini? Apakah terma-terma yang dipersetujui? Tidakkah ia memberi kesan terhadap tuntutan sah Malaysia ke atas kawasan ini?” soalnya.

Tambah beliau, memandangkan Ambalat terletak berhampiran sempadan negeri Sabah, adalah penting untuk mengetahui sama ada Kerajaan Negeri Sabah telah dirunding atau diberikan jaminan berhubung hak dan hasil daripada perjanjian tersebut.

Muhyiddin turut menegaskan bahawa walaupun kerjasama ekonomi serantau patut dialu-alukan, sebarang bentuk perjanjian di kawasan pertikaian seperti Ambalat mestilah berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

“Perjanjian pembangunan bersama di wilayah pertikaian tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan tersirat terhadap tuntutan mana-mana pihak. Ia mesti tegas dan tidak menjejaskan kedaulatan kita,” tegasnya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mempersoalkan sama ada terdapat klausa dalam perjanjian tersebut yang membolehkan Malaysia menarik diri sekiranya haknya dinafikan, dan adakah Sabah diberi jaminan bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut.

Beliau menggesa agar sebarang bentuk kerjasama melibatkan wilayah pertikaian ditangguhkan sehingga sempadan ditentukan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau melalui saluran undang-undang yang diiktiraf.

“Tindakan hari ini boleh menjadi duluan yang berbahaya untuk masa depan. Hak dan maruah negara tidak boleh diperjudikan. Sebarang tindakan yang melemahkan tuntutan sah Malaysia atau dilihat menyerahkan kedaulatan kepada pihak asing, boleh dianggap sebagai penderhakaan kepada negara,” katanya menutup kenyataan.