NA’IM BRUNDAGE DIUGUT BUNUH, SIMBAH ASID, TIDAK MENOLAK BERMOTIF POLITIK

DANG WANGI, 3 JULAI 2025 – Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu ARMADA Bersatu Malaysia, Na’im Brundage, hari ini mendedahkan bahawa beliau telah menerima ugutan bunuh serta ancaman untuk disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali. Menurut beliau, maklumat mengenai ancaman tersebut diterima baru-baru ini dan ia dianggap sebagai satu perkara serius yang mengancam keselamatannya.

Bagi memastikan keselamatan diri dan keluarganya, Na’im telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam. Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap ugutan berkenaan. Katanya, tindakan ini penting bagi memastikan ancaman tersebut tidak menjadi kenyataan dan keselamatan awam turut terpelihara.

Na’im tidak menolak kemungkinan bahawa ancaman itu bermotifkan politik memandangkan beliau aktif bersuara mengenai isu-isu semasa di media sosial dan media massa. Menurut beliau, kelantangan menyuarakan pendirian politik mungkin menimbulkan rasa tidak senang segelintir pihak sehingga sanggup mengambil tindakan ekstrem seperti ini.

Namun begitu, Na’im menegaskan bahawa ugutan sedemikian sama sekali tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus bersuara demi rakyat. Beliau berkata, tidak ada sebarang bentuk ancaman, tekanan atau intimidasi yang akan membuatkan beliau tunduk atau berundur daripada perjuangan politik yang sedang digalasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memohon doa dan sokongan daripada semua pihak serta menggesa rakyat Malaysia untuk bersatu menolak budaya politik keganasan. Katanya, amalan politik perlu kekal matang dan berlandaskan undang-undang demi keharmonian negara pada masa hadapan.