MALAYSIA PERLU ‘RESET’; RAKYAT HILANG KEPERCAYAAN KEPADA KERAJAAN – HAMZAH ZAINUDIN

PUTRAJAYA, 5 Julai – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, menyeru kepada satu usaha “reset Malaysia” secara menyeluruh antara salah satunya bagi memastikan negara keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana. Menurut beliau, Malaysia memerlukan penstrukturan semula dasar, pemodenan industri, dan peningkatan modal insan agar mampu bersaing di peringkat global dan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut tentang konsep ‘reset’, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin melalui analogi mudah bahawa jika telefon pintar menghadapi masalah, pengguna perlu melakukan ‘reset’ atau ‘reboot’. “Dalam telefon kita offkan yang mana patut, kita buang yang mana patut buang, kita tinggal yang patut tinggal. Mana yang patut perbaiki, kita perbaiki sistem dia. Kalau patut upgrade, kita upgradekan,” jelasnya ketika ditemu bual oleh media baru-baru ini.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa Perdana Menteri atau kerajaan tidak seharusnya menganggap diri mereka tahu semua perkara. Beliau memberi contoh kesilapan Perdana Menteri yang menyatakan GST adalah General Services Tax sedangkan sebenarnya ia adalah Goods and Services Tax. “Janganlah kita bayangkan diri kita sebagai Perdana Menteri yang tahu semua. Masalahnya akhirnya rakyat tertawakan kita,” katanya sambil menambah bahawa dasar baik kerajaan terdahulu seperti Wawasan Kemakmuran Bersama sepatutnya diteruskan, bukan dibuang begitu sahaja.

Dalam ucapannya sebelum ini di ISEAS, Singapura, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut menekankan tiga tonggak utama Konsensus Nasional Baharu yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional iaitu; pertama, matlamat bersama dengan membina negara melangkaui kepartian. Kedua, kemakmuran bersama dengan menyatupadukan masyarakat berbilang kaum. Ketiga, tadbir urus penuh ihsan melalui kerajaan yang prihatin dan bermaruah. Beliau menyifatkan konsep reset ini seperti reformasi besar pasca tragedi 13 Mei 1969, yang memerlukan kepimpinan dihormati oleh semua pihak untuk membina asas negara semula.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut menyentuh isu GST dan SST yang menjadi polemik sejak dahulu. “Dulu masa kita buat GST, saya ketika itu Menteri. Wah marah kutuk cakap macam-macam. Akhirnya termakan diri, buat SST lagi teruk. Sehingga rakyat hari ini tertanya-tanya apa hal ni. Tak payah malulah, minta maaf saja daripada cakap besar akhirnya membohong kepada rakyat,”tegasnya sambil menutup dengan keyakinan bahawa “Reset Malaysia adalah satu keperluan, bukan pilihan” untuk memastikan masa depan negara kekal stabil, makmur, dan berdaya saing.