INDERA MAHKOTA, 11 Julai 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) YB Dato’ Seri Saifuddin Abdullah mengemukakan cadangan Konsensus Nasional Baharu sebagai sebahagian daripada tawaran konkrit Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Dalam ucapannya di Persidangan BERSATU Bahagian Bangi dan Indera Mahkota, Saifuddin menegaskan bahawa PN tidak boleh hanya bergantung kepada gelombang kemarahan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) untuk memenangi PRU16.
“Kalaupun kemarahan rakyat memuncak menjadi gelombang, ia belum tentu mencukupi untuk menangkan PN. Rakyat mesti juga menyukai PN, bukan hanya membenci kerajaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa rakyat perlu ditawarkan “isi atau bahan yang konkrit dan segar” untuk membina pengharapan, bukan sekadar slogan atau poster calon Perdana Menteri.
Antara tawaran utama yang diketengahkan ialah cadangan Konsensus Nasional Baharu oleh Timbalan Presiden BERSATU dan Ketua Pembangkang Perikatan Nasional, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang kini semakin mendapat respons positif daripada kalangan ahli-ahli Bersatu, parti-parti komponen PN, organisasi masyarakat sivil, dan kalangan ahli akademik.
Sempena Persidangan Bahagian BERSATU pada hujung minggu lalu, beberapa Bahagian Bersatu telah bersetuju supaya usul Konsensus Nasional Baharu dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada September ini.
“Menyedari negara berhadapan setimbun masalah yang membebankan majoriti rakyat dan perlu mendepani cabaran masa depan yang lebih kompleks, maka Bahagian Indera Mahkota mengusulkan supaya dibangunkan Konsensus Nasional Baharu berasaskan matlamat disepakati, kemakmuran bersama dan kerajaan penyayang, sebagai salah satu teras perjuangan PN dan sebahagian daripada manifestonya bagi PRU16.”
Di samping itu, PN telah juga bersedia dengan tawaran-tawaran lain, contohnya, Wawasan Kemakmuran Bersama dan Cadangan Reformasi Pendidikan.
