Ipoh, 18 Julai 2025 – Srikandi Muda BERSATU Perak mengkritik kenyataan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, yang mempertahankan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai langkah untuk mengekalkan kestabilan politik negeri dan mengelakkan perpecahan undi Melayu seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Ketua Penerangan Srikandi Muda BERSATU Perak, Nurmira Nabilla Azmi, menyifatkan kenyataan Saarani itu sebagai cubaan menjustifikasi langkah politik BN-PH yang jelas mengorbankan prinsip parti demi kekal berkuasa.
“UMNO sendiri sebelum ini berkali-kali menegaskan tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP. Itu janji mereka kepada penyokong dan pengundi. Tetapi hari ini, janji itu dilanggar hanya untuk terus memegang kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana gabungan BN-PH mampu mencapai kesepakatan kukuh memandangkan kedua-dua parti mempunyai dasar dan ideologi yang berbeza sejak awal.
“Kerjasama seperti ini bersifat rapuh kerana tiada halatuju bersama dan tiada asas perjuangan yang selari. Ini hanya pakatan demi kepentingan kuasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Nurmira berkata kenyataan Saarani yang melabelkan istilah “UMDAP” sebagai propaganda pembangkang tidak menafikan hakikat bahawa rakyat sendiri dapat menilai kerjasama tersebut.
“Bila parti yang dulunya bersumpah tidak akan bekerjasama dengan DAP kini duduk semeja atas nama kestabilan, naratif kestabilan ini hanya cubaan menyelamatkan kedudukan dan kuasa semata-mata, bukan demi rakyat,” ujarnya.
Srikandi Muda Perak juga berpendapat rakyat, khususnya golongan muda, sudah muak dengan politik yang tidak berpegang pada prinsip perjuangan sebenar.
“Apa yang anak muda mahukan hari ini ialah barisan kepimpinan yang tegas pendiriannya, tahu ke mana arah yang dituju, dan benar-benar komited mentadbir demi masa depan negara, bukan pemimpin yang hanya pandai bermain strategi untuk kekal berkuasa,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Nurmira menyeru rakyat untuk menolak politik yang sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan kuasa.
“Negara ini perlukan pemimpin berintegriti yang mampu memikul amanah rakyat dengan berpegang teguh pada prinsip dalam membuat keputusan. Gabungan parti yang tidak sehaluan dari segi dasar dan perjuangan tidak akan mampu membawa arah tuju yang jelas,” katanya.
