BUKIT GELUGOR, 17 Julai – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Malaysia mendakwa tindakan PKR mengerahkan ahli memuat naik gambar Perdana Menteri di media sosial menunjukkan parti itu kini berada dalam keadaan terdesak.
Menurut EXCO ARMADA BERSATU, Muhammad Ashraf Hayup Khan, pihaknya mengambil maklum tentang laporan yang tular semalam berkenaan kerahan oleh Setiausaha Wanita Keadilan Malaysia yang menyeru ahli-ahli parti untuk menaikkan reputasi Perdana Menteri melalui hantaran bergambar di media sosial.
“Tindakan ini menunjukkan tekanan politik dalaman PKR semakin memuncak. Mereka tidak lagi mampu menahan desakan rakyat berkenaan isu kenaikan kos sara hidup, peluasan SST, kenaikan tarif elektrik serta terbaru peranan Rafizi Ramli yang mengkritik kerajaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan arahan kepada ahli untuk memuat naik hantaran gambar Perdana Menteri itu sebagai langkah yang “desperate” dan menggambarkan situasi dalam parti itu seperti retak menanti belah.
Dalam pada itu, Muhammad Ashraf berkata himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini bakal mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat Malaysia.
