KONFLIK KEHAKIMAN NEGARA; MUHYIDDIN SYORKAN AHLI PARLIMEN KERAJAAN NYATAKAN HILANG KEYAKINAN KEPADA PMX

PUTRAJAYA, 10 Julai 2025 – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa penolakan Jabatan Peguam Negara terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut pelantikan kehakiman menimbulkan persepsi yang Perdana Menteri cuba melindungi kepentingan peribadinya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata keputusan pendirian kerajaan untuk menolak cadangan RCI serta penglibatan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam proses pelantikan hakim-hakim merupakan penolakan ‘mentah-mentah’ terhadap desakan sembilan Ahli Parlimen PKR sendiri yang menuntut langkah itu bagi menjamin kebebasan badan kehakiman.

“Desakan mereka selari dengan kebimbangan munasabah Perikatan Nasional dan masyarakat sivil tentang kebebasan badan kehakiman, terutama apabila Perdana Menteri sedang berhadapan dengan kes saman sivil berkaitan salah laku peribadinya di mahkamah,” katanya.

Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri kini mempunyai konflik kepentingan jelas kerana beliau berkuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim termasuk Ketua Hakim Negara, sambil pada masa sama berusaha mendapatkan imuniti mahkamah bagi dirinya dalam berdepan kes saman sivil. 

“Ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Saya tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan untuk menyiasat dirinya sendiri kerana keputusan itu memerlukan kelulusan Kabinet yang dipengerusikan beliau,” ujar Muhyiddin.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kini menyaksikan institusi-institusi utama negara “dirosakkan oleh Perdana Menteri demi kepentingan peribadinya,” sedangkan kebebasan kehakiman berkembang baik semasa pentadbiran kerajaan terdahulu termasuk Perikatan Nasional.

Muhyiddin juga mendakwa kenyataan peguam-peguam terkemuka baru-baru ini mengesahkan kebebasan badan kehakiman lebih terjamin sebelum ini berbanding di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim selari dengan Perlembagaan tanpa sebarang campur tangan urusan mahkamah walaupun didesak oleh pelbagai pihak,” katanya.

Menurut Muhyiddin, selagi Perdana Menteri menghadapi masalah peribadi yang membabitkan badan kehakiman, selagi itulah kebebasan kehakiman tidak akan terjamin.

Beliau juga percaya Ahli Parlimen penyokong kerajaan kini mula sedar bahawa Perdana Menteri berada di jalan yang salah dan janji reformasi institusi hanyalah janji kosong.

“Apabila Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan rakyat, satu-satunya cara untuk terus berkuasa ialah mencengkam institusi negara dan menyekat kebebasan rakyat, termasuk badan kehakiman,” tegasnya.

Muhyiddin menggesa Ahli-Ahli Parlimen kerajaan menggunakan kuasa mereka untuk menyatakan hilang keyakinan kepada Perdana Menteri di Parlimen sebagai tanggungjawab moral demi menyelamatkan negara.

“Apabila Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah meletakkan jawatan. Hilanglah mendung yang menyelubungi negara dan selamatlah negara ini,” kata Muhyiddin.