PUTRAJAYA, 20 Julai 2025 – Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-8, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Rafizi Ramli, yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak mengemukakan sebarang tawaran kepada Barisan Nasional (BN) dalam rundingan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Menurut beliau, kenyataan Rafizi dalam video podcast baru-baru ini adalah pembohongan semata-mata.
Beliau Datuk Dr. Marzuki Mohamad menjelaskan, rundingan antara PN dan BN pada 23 November 2022 di Hotel St. Regis berlangsung dalam suasana muhibbah tanpa sebarang unsur memperkecilkan UMNO. “Tidak pernah sekali pun Tan Sri Muhyiddin memperkecilkan UMNO. Malah yang hadir pada rundingan tersebut adalah kawan-kawan beliau sendiri dalam UMNO dan BN,” katanya sambil menegaskan bahawa Muhyiddin hadir secara penuh sepanjang rundingan itu.
Menurut beliau, dalam rundingan tersebut, PN menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, selain jawatan kabinet mengikut komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN sebagai balasan kepada sokongan en-bloc Ahli-Ahli Parlimen BN untuk memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Nama calon TPM bagaimanapun akan diputuskan secara perundingan bersama pimpinan BN dan Perdana Menteri.
Beliau menambah, selepas rundingan tamat, satu surat rasmi yang mengandungi tawaran-tawaran tersebut telah disediakan bersama Setiausaha Agung PN ketika itu, YB Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, dan diserahkan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada hari yang sama untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Namun, beliau tidak pasti sama ada kandungan surat tersebut dibincangkan dalam mesyuarat MKT pada malam itu atau sebaliknya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyatakan rasa terkejut apabila UMNO membuat keputusan menolak kerjasama dengan PN dan memilih untuk bersama Pakatan Harapan pada malam yang sama. “Saya terdiam. Namun apa boleh buat, keputusan telah dibuat. Saya pun tidur saja lah sambil mengharapkan hari esok lebih baik daripada semalam,” ujarnya sambil menegaskan bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk menyatakan kebenaran sekiranya wujud pembohongan dan fitnah dalam naratif politik negara.
