ANWAR IBRAHIM SEDANG PANIK – HILMAN IDHAM

Alor Setar, 19 Julai 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam keadaan panik sehingga terpaksa mengarahkan Angkatan Muda Keadilan untuk menjadi ‘cyber troopers’ mempertahankan dirinya di media sosial.

Berucap di Himpunan Mega Anak Muda Selamatkan Malaysia sempena Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Suka Menanti, Kedah malam tadi, Hilman berkata tindakan itu jelas menunjukkan ketakutan Anwar terhadap kebangkitan rakyat.

“Sehinggakan Angkatan Muda Keadilan diarahkan oleh Anwar Ibrahim untuk jadi cyber troopers tolong pertahankan dia. Kita lihat semalam macam mana sudah bocor wanita Keadilan diarahkan semuanya untuk upload muka Perdana Menteri di Facebook masing-masing,” katanya di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri stadium berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa perhimpunan itu menjadi isyarat jelas kepada kepimpinan negara bahawa rakyat mahu melakukan perubahan besar.

“Kita semua hari ini berhimpun di sini sebab apa? Sebab seorang individu yang namanya Anwar bin Ibrahim. Sudah lebih 15 tahun daripada 1998 sehingga hari ini kita bertempur semuanya sebab dia. Kepimpinan kita hari ini sepakat bahawa untuk selesaikan masalah berbelas tahun ini, caranya cukup mudah, kita mesti tumbangkan Anwar bin Ibrahim daripada Putrajaya,” tegasnya.

Hilman juga membangkitkan kegagalan Perdana Menteri menunaikan pelbagai janji termasuk menurunkan harga minyak, elektrik, cukai, dan yuran pendidikan.

“Dia janji nak turunkan harga minyak, turun atau tidak? Dia janji nak turunkan harga elektrik, turun atau tidak? Dia janji nak turunkan harga cukai, turun atau tidak? Dia janji nak turunkan harga yuran pendidikan, turun atau tidak?” katanya disambut sorakan hadirin.

Beliau turut menggesa semua penyokong untuk turun berhimpun di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini bagi memberikan isyarat jelas kepada Perdana Menteri.

“Kita mesti sampai di Kuala Lumpur pada 26 hari bulan. Kita mesti berikan isyarat kepada Anwar Ibrahim bahawa kita mahu melakukan perubahan besar untuk diri, keluarga, masyarakat dan tanah air,” katanya lagi.

Himpunan malam tadi turut dihadiri tokoh negarawan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4 dan ke-7; YB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ke-8; dan Presiden PAS, YB Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.