PERMATANG PAUH, 20 Julai 2025 – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Pulau Pinang menzahirkan sokongan penuh kepada Presiden Pengasas parti, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui BERSATU dan memperkukuhkan Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Armada BERSATU Negeri Pulau Pinang Bil. 02/2025 yang dipengerusikan oleh Ketua Armada Negeri, YB Izhar Shah Arif Shah, yang berlangsung di Parlimen Balik Pulau baru ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, kesemua Armada BERSATU Bahagian di negeri Pulau Pinang turut menyatakan komitmen sepenuhnya untuk menggerakkan kekuatan besar bagi menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai 2025 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Armada BERSATU Negeri Pulau Pinang dengan penuh iltizam akan terus berjuang demi rakyat, menyantuni masyarakat yang memerlukan serta mengangkat suara rakyat marhaen yang semakin terhimpit dengan pelbagai isu yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan pada hari ini,” kata kenyataan itu.
Mesyuarat tersebut menegaskan pendirian untuk kekal istiqamah dalam perjuangan bersama rakyat dan menutup sidang dengan laungan:
“Berjuang Demi Rakyat”
“BERSATU Untuk Malaysia”
“BERSATU, Beramanah, Bermaruah”
