KES ZARA QAIRINA; BULI ADALAH JENAYAH, PERLU DILAYAN SEPERTI JENAYAH – SRIKANDI BERSATU

SIPITANG, 21 Julai – Ketua Sayap Wanita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia Srikandi BERSATU Bahagian Sipitang, Dayang Syafiqah Abdul Hamid, mengecam keras insiden buli yang meragut nyawa adik Zara Qairina, bekas pelajar SK Pantai Sipitang baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa perbuatan buli bukan sekadar masalah disiplin tetapi adalah satu jenayah yang perlu dihukum sewajarnya.

Beliau menyifatkan tragedi yang menimpa Zara sebagai sesuatu yang sungguh menyayat hati dan tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana institusi pendidikan di negara ini. “Saya merakamkan takziah kepada keluarga mangsa. Ini bukan isu disiplin biasa. Ini adalah jenayah dan mesti dilayan sebagai jenayah,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Dayang Syafiqah turut menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan satu pasukan petugas khas melibatkan PDRM, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan NGO bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak. Katanya, pelaku dan mereka yang bersubahat mesti dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian.

Selain itu, beliau menuntut penggubalan segera Akta Anti-Buli bagi mendefinisikan buli secara menyeluruh meliputi fizikal, lisan, emosi, siber dan kuasa (senioriti). Akta itu, katanya, perlu menetapkan tahap keseriusan buli, hukuman progresif dari kaunseling hingga penjara, serta tindakan kepada guru atau pentadbir yang gagal melaporkan kes. “Malaysia masih tiada undang-undang khusus menangani buli secara menyeluruh. Ketiadaan definisi jelas menyebabkan banyak kes tidak dipandang serius,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menuntut SOP keselamatan di sekolah dan asrama diperkemas dengan audit bebas berkala dan sistem aduan yang selamat. Dayang Syafiqah juga menyeru agar guru, warden dan staf sekolah diberi latihan berkala untuk mengesan tanda awal buli, selain memastikan setiap daerah mempunyai pegawai psikologi bagi intervensi awal. “Sudah tiba masanya kita hentikan budaya diam dan melindungi pelaku. Sistem pendidikan kita perlu mendidik, bukan menindas,” katanya.