PENJAWAT AWAM JUGA RAKYAT YANG BERHAK BERSUARA DAN BERHIMPUN – ARMADA BERSATU

KOTA MELAKA, 24 Julai – Exco ARMADA BERSATU Malaysia, Arib Abu Kasim menegaskan bahawa penjawat awam juga mempunyai hak untuk berhimpun seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai acara himpunan rakyat yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.

Menurut KSN, tindakan penjawat awam menyertai perhimpunan tersebut adalah tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.

Bagaimanapun, Arib berpendapat bahawa menghalang penjawat awam sepenuhnya daripada menyuarakan pandangan, terutamanya dalam isu melibatkan kebajikan rakyat atau dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka, boleh dianggap sebagai cubaan mengekang hak asasi mereka.

“Penjawat awam juga warganegara yang memiliki hak bersuara dan berhimpun. Mereka seharusnya diberi ruang untuk menyatakan pandangan secara aman, selagi tidak menyalahgunakan jawatan atau kedudukan, dan tidak membawa imej jabatan ketika berhimpun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, banyak dasar kerajaan yang dilaksanakan oleh penjawat awam memberi kesan terus kepada kehidupan rakyat termasuk diri mereka sendiri. Oleh itu, katanya, suara mereka wajar didengari.

Arib turut mengingatkan bahawa menjadikan penjawat awam sebagai ‘kambing hitam’ untuk tujuan politik adalah tidak adil, sedangkan mereka turut menanggung kesan daripada dasar dan keputusan kerajaan.

“Sikap politik yang cuba membungkam penjawat awam boleh menjejaskan semangat mereka untuk berkhidmat dengan berintegriti. Lebih baik kerajaan atau mana-mana pihak menghormati hak mereka dan mewujudkan saluran rasmi untuk menyampaikan pandangan kepada pembuat dasar,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa kebebasan berhimpun adalah hak rakyat Malaysia termasuk penjawat awam, selagi ia dilaksanakan secara aman dan mematuhi undang-undang negara.