DATARAN MERDEKA, 25 Julai 2025 – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ARMADA, hari ini mempersoalkan ketelusan dasar subsidi bersasar kerajaan susulan pengumuman bantuan SARA RM100 kepada semua dewasa tanpa mengira status ekonomi.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid dalam kenyataan medianya berkata, langkah kerajaan memberikan bantuan sama rata kepada golongan kaya dan miskin tidak mencerminkan prinsip subsidi bersasar yang dicanangkan selama ini.
“Robert Kuok yang mempunyai nilai kekayaan sebanyak RM50.3 bilion juga mendapat bantuan RM100 daripada kerajaan. ARMADA berpendapat bahawa kerajaan harus menaikkan nilai bantuan kepada golongan yang memerlukan supaya memberi impak lebih besar daripada memberikan kepada individu seperti Robert Kuok,” katanya.
Selain itu, ARMADA turut mengkritik penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, dengan menyifatkannya tidak membawa perbezaan ketara kepada rakyat.
Menurut Harris, penjimatan bagi pemilik kenderaan seperti Myvi hanya sekitar RM2.16 bagi tangki penuh, menjadikan pengumuman penurunan itu sekadar langkah kosmetik.
“Walaupun penurunan ini sedikit sebanyak menurunkan perbelanjaan, poster teaser yang dimuat naik sembilan hari lebih awal hanyalah boneka murahan. Langkah ini dibuat untuk menghentikan jenaka rakyat berkenaan frasa terkenal Perdana Menteri iaitu ‘hari ini ambil alih kerajaan, esok harga minyak turun’,” ujarnya lagi.
ARMADA menyifatkan langkah kerajaan ini sebagai ‘memberi Panadol kepada rakyat’ untuk meredakan suhu kemarahan, terutamanya menjelang Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai ini.
Di akhir kenyataan, Harris turut mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional atas desakan yang berjaya mendorong kerajaan mengumumkan bantuan tersebut, membuktikan keberkesanan blok pembangkang dalam memperjuangkan nasib rakyat.
“Bak kata pepatah Melayu, indah khabar dari rupa, tetapi pengumuman ini pula ‘indah teaser daripada intipati’,” katanya.
